TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah Tinggi batal pertuduhan ceroboh tanah persendirian, pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman dibebaskan

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 5 Ogos – Seorang pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menceroboh tanah persendirian yang menempatkan rumah ibadat itu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Peguam, Latheefa Koya yang mewakili M Paramaguru, 49, berkata, Hakim Dr Hazlina Hussain membuat keputusan itu selepas membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya.

Menerusi satu kenyataan media, Latheefa berkata, mahkamah mendapati pertuduhan yang difailkan terhadap Paramaguru mempunyai kecacatan yang tidak boleh diperbaiki.

Beliau berkata, kuil berkenaan terlibat dalam pertikaian mengenai status tanah dengan pemilik tanah persendirian, Datuk Suhaili Ahmad.

Menurutnya, hakim berpendapat kertas pertuduhan gagal menunjukkan bahawa Paramaguru, yang juga seorang pengawal keselamatan, mempunyai niat jenayah yang menjadi elemen penting bagi kesalahan menceroboh.

Katanya, mahkamah turut berpandangan bahawa meneruskan kes itu ke peringkat perbicaraan hanya akan membazirkan masa mahkamah.

Ketika dihubungi, Latheefa menjelaskan pertuduhan terhadap anak guamnya hanya menyatakan berlaku pencerobohan tanpa memperincikan niat untuk melakukan sesuatu kesalahan jenayah.

“Berdasarkan undang-undang, pencerobohan itu bukan bermaksud jenayah kecuali disertakan dengan melakukan niat untuk melakukan kesalahan.

“Pendakwaan selaku responden pula menghujahkan, niat dapat dibuktikan sekiranya kes tersebut diteruskan dengan perbicaraan,” katanya yang hadir bersama peguam, Rajesh Nagarajan.

Pada 9 Februari lalu, Paramaguru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menceroboh tanah milik Suhaili.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa memasuki kawasan tanah milik Suhaili tanpa kebenaran di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada jam 4.45 petang, 19 Jun 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Heikal Ismail.

+ - reset