TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RCI TH: Bersatu desak Azeez tampil, Asyraf Wajdi letak jawatan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Bersatu menggesa bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tampil memberi penjelasan kepada rakyat, manakala Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki diminta melepaskan jawatan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, laporan RCI itu mengesahkan wujud kelemahan serius dalam tadbir urus dan pengurusan Tabung Haji, sekali gus menuntut akauntabiliti daripada semua pihak yang terbabit.

“Rakyat kini menuntut akauntabiliti, bukannya alasan. Sehubungan itu, saya menggesa Abdul Azeez tampil segera kepada rakyat dan mengesahkan sama ada beliau telah dipanggil atau menerima sebarang notis daripada SPRM berhubung siasatan susulan terhadap dapatan RCI,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu, Abdul Azeez juga perlu mengemukakan surat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM bertarikh 2021 yang didakwa membebaskannya daripada sebarang penglibatan.

“Namun begitu itu tidak cukup untuk membersihkan beliau daripada sebarang dakwaan salahlaku selagi mana siasatan yang telus dilaksanakan.

“Rakyat berhak mengetahui status sebenar perkara ini, dan sebarang spekulasi hanya boleh dihentikan melalui penjelasan terbuka daripada beliau sendiri dan proses siasatan yang bebas dan bersih,” katanya.

Pada masa sama, Afif menggesa Asyraf Wajdi yang kini Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil tanggungjawab moral berhubung peranannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam sebahagian tempoh yang menjadi fokus siasatan RCI.

Katanya, bagi memastikan integriti institusi awam terus terpelihara serta mengelakkan persepsi campur tangan dalam siasatan atau keputusan pendakwaan, Asyraf Wajdi wajar melepaskan jawatannya sehingga proses siasatan selesai.

“Walaupun sebarang liabiliti individu perlu ditentukan melalui proses undang-undang, beliau tidak boleh berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya.

Afif turut mengingatkan UMNO supaya tidak mengamalkan prinsip integriti secara terpilih.

“Ketika melibatkan lawan politik, mereka begitu lantang menuntut peletakan jawatan atas alasan integriti. Kini apabila pemimpin mereka sendiri dikaitkan dengan tempoh pentadbiran yang menjadi subjek dapatan sebuah RCI, prinsip yang sama mesti terpakai.

“Integriti bukan slogan yang digunakan secara terpilih,” katanya.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan serta membuat keputusan pendakwaan secara bebas, profesional dan tanpa memilih bulu.

Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan minggu lalu mendapati institusi itu sepatutnya merekodkan kerugian sebanyak RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan.

RCI turut mendapati pengagihan hibah diteruskan melalui amalan perakaunan yang tidak wajar serta mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah, selain mencadangkan larangan ke atas ahli politik aktif daripada menganggotai lembaga pengarah Tabung Haji dan anak syarikatnya.

Pada masa sama, laporan itu mengiktiraf usaha kerajaan dan pengurusan baharu Tabung Haji selepas 2018 dalam menstabilkan kedudukan institusi berkenaan, memperkukuh tadbir urus serta memulihkan keyakinan pendeposit.

Menurut laporan itu, jumlah deposit Tabung Haji meningkat kepada kira-kira RM76 bilion menjelang akhir 2020 sebelum mencecah RM88 bilion, susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Tabung Haji yang diluluskan kerajaan pada Disember 2018.

+ - reset