TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

50 anjing mati diracun di kawasan perindustrian Kajang, peniaga tawar ganjaran RM1,000 buru pelaku

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG 5 Ogos – Kira-kira 50 ekor anjing, termasuk anjing liar dan anjing peliharaan, didakwa mati selepas termakan makanan yang dicampur racun di Pusat Perindustrian Sungai Chua di sini sejak awal Julai lalu.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kwan Say Hong berkata, pengusaha di kawasan berkenaan kini menawarkan ganjaran RM1,000 kepada mana-mana individu yang tampil dengan bukti bagi membantu mengenal pasti pelaku.

Beliau berkata, kejadian itu menimbulkan rasa marah dan sedih kerana melibatkan kematian puluhan haiwan dalam tempoh singkat.

"Saya berasa marah dan sedih apabila dimaklumkan bahawa sejak awal Julai, kira-kira 50 ekor anjing, termasuk anjing liar serta anjing bertuan yang dipelihara oleh pengusaha setempat, telah mati akibat termakan makanan yang dicampur racun.

"Tidak dinafikan, isu anjing liar yang menimbulkan masalah keselamatan dan kebersihan awam masih merupakan antara aduan tertinggi yang diterima oleh MPKj dan banyak lagi PBT.

"Walau bagaimanapun, seseorang tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri dengan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tiada apa-apa alasan yang boleh menjustifikasikan sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan," katanya.

Menurut Kwan, beliau telah mengadakan pertemuan bersama beberapa pengusaha, pekerja, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan haiwan serta pihak pengurusan syarikat kawalan keselamatan bagi membincangkan insiden tersebut.

Katanya, pertemuan itu turut membincangkan langkah jangka panjang termasuk kerjasama semua pihak untuk mengawal populasi anjing liar, menggalakkan pemilikan haiwan secara bertanggungjawab serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha dan pekerja.

"Selain membincangkan insiden keracunan anjing ini, kita turut berkesempatan bertukar pandangan mengenai langkah-langkah yang boleh dilaksanakan melalui kerjasama semua pihak bagi mengawal populasi anjing liar, menggalakkan pemeliharaan anjing secara bertanggungjawab, serta memupuk kesedaran dalam kalangan pengusaha dan pekerja," katanya.

Beliau berkata, pihak pengusaha telah membuat laporan polis dan memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka (dashcam) supaya tampil membantu mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.

"Saya berharap pengusaha, pekerja dan orang awam yang mempunyai bahan bukti, seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka (dashcam), boleh membantu dalam mengenal pasti identiti pelaku.

"Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) memperuntukkan kesalahan berkaitan penganiayaan terhadap haiwan, termasuk pemberian racun di bawah Seksyen 31.

"Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya," ujarnya.

Dalam pada itu, Kwan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan meracun haiwan dan menegaskan isu anjing liar perlu ditangani melalui pendekatan yang berperikemanusiaan serta mematuhi undang-undang.

"Kebijaksanaan dan kemampuan kita sebagai manusia seharusnya dizahirkan melalui usaha mencari penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan dan berkesan, bukannya memilih cara yang kejam seperti pemberian racun," katanya.

+ - reset