TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak boleh sesuka hati guna nama 'Kelantan' anjur program, perlu mohon kebenaran kerajaan negeri

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU 5 Ogos – Kerajaan Kelantan akan mewajibkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta mendapatkan kebenaran kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum menggunakan nama "Kelantan" dalam penganjuran sesuatu program.

Langkah itu diperkenalkan bagi mengelakkan reputasi negeri tercalar susulan kontroversi penganjuran sebuah acara yang menggunakan nama "Kelantan" tetapi gagal diteruskan walaupun yuran penyertaan telah dikutip.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, program berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan negeri, namun penggunaan nama "Kelantan" menyebabkan orang ramai menyangka ia dianjurkan secara rasmi oleh kerajaan.

"Selepas ini sebarang program yang dianjurkan oleh NGO ataupun pihak swasta yang menggunakan nama Kelantan perlu mendapat kebenaran kerajaan negeri.

"Bila guna nama Kelantan, dia perlu mendapat kebenaran," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tular mengenai pembatalan Kelantan International Marathon yang mencetuskan rungutan peserta selepas mendakwa telah membuat bayaran pendaftaran.

Menurut Zamakhshari, penganjur program itu pernah bertemu beliau beberapa bulan lalu bagi membentangkan cadangan penganjuran acara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menasihatkan supaya penganjur memulakan penganjuran secara kecil-kecilan terlebih dahulu selepas mengambil kira pengalaman dan latar belakang mereka yang bukan dalam bidang pengurusan acara.

"Namun mereka meneruskan juga penganjuran itu dan akhirnya timbul pelbagai isu.

"Saya tidak mahu mengatakan ia satu penipuan, tetapi mungkin berlaku kelemahan dari segi pengurusan sehingga program itu tidak dapat diteruskan dan sekarang peserta meminta bayaran balik," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak terlibat dalam penganjuran program tersebut.

"Masalah itu adalah masalah mereka. Kerajaan negeri langsung tiada kaitan.

"Tetapi apabila menggunakan nama Kelantan, orang ramai menyangka kerajaan negeri yang menganjurkannya. Akhirnya nama Kelantan pula yang dipersalahkan apabila program gagal dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, Zamakhshari berkata satu mekanisme permohonan akan diwujudkan bagi membolehkan setiap cadangan program yang ingin menggunakan nama "Kelantan" dinilai terlebih dahulu mengikut portfolio Exco berkaitan.

Katanya, kerajaan negeri akan meneliti bentuk program, pengisian serta kemampuan penganjur sebelum sebarang kelulusan diberikan.

"Tujuannya supaya nama Kelantan tidak tercemar akibat penganjuran program yang tidak diurus dengan baik," katanya.

+ - reset