TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jiran kata dia pukul anjing sampai terberak', pemilik kongsi cara Rocky ditangkap

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 6 OGOS – Pemilik anjing peliharaan bernama Rocky, Rohini Devi, menggesa agar siasatan berhubung kematian haiwan kesayangannya dijalankan secara telus demi merungkai punca sebenar kejadian dan memberikan keadilan kepada keluarganya.

Rohini menegaskan beliau menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta memilih untuk tidak mengulas lanjut di luar saluran rasmi.

Menurutnya ketika sidang akhbar Keadilan untuk Rocky di Rogue@Bukit Gasing semalam, beliau hanya menunggu laporan rasmi DVS sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut dan berharap keputusan tersebut dapat memihak kepada keadilan haiwan berkenaan.

Mengimbas semula detik kejadian, Rohini memberitahu beliau bergegas pulang selepas dimaklumkan jiran bahawa Rocky telah ditangkap. Sebaik tiba di lokasi, beliau mendapati anjingnya berada dalam keadaan terjerut lalu berusaha membebaskannya.

Walaupun telah berkali-kali merayu kepada pihak yang berada di lokasi dan memaklumkan bahawa Rocky mempunyai pemilik, rayuannya mendakwa tidak diendahkan. Beliau turut mengakui anjing berkenaan tidak mempunyai lesen, namun tetap memohon agar jerutan dilepaskan dan menawarkan diri untuk menyerahkan sendiri haiwan itu kepada pihak berkuasa.

Dalam usaha menyelamatkan haiwan tersebut, Rohini mencuba memotong tali jerutan menggunakan gunting dan pisau yang diambil oleh anaknya, namun gagal kerana jenis tali yang terlalu keras.

Beberapa minit kemudian, pegawai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tiba di tempat kejadian. Bagaimanapun, sebaik sahaja jerutan dibuka, Rocky didakwa sudah tidak bernyawa.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 10.50 malam pada 29 Julai lalu itu bertempat di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, ketika operasi menangkap anjing liar dijalankan oleh MBDK dengan kerjasama penduduk tempatan. Insiden berkenaan kini mencetuskan pelbagai reaksi serta simpati daripada masyarakat awam di media sosial.

+ - reset