TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kita akan siasat sama' - PDRM hantar pasukan ke Jakarta bantu siasat kes juruterbang MAS didakwa seludup 25kg dadah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar sepasukan pegawai penyiasat ke Jakarta, Indonesia minggu depan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang juruterbang warga Malaysia yang didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan tersebut dijadual berada di Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos bagi bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia mengesan dalang utama sindiket terbabit.

Beliau berkata, siasatan akan memberi tumpuan kepada sumber bekalan dadah, modus operandi penyeludupan, serta rangkaian hubungan suspek dengan sindiket pengedaran dadah di Indonesia.

"Kita akan melihat keseluruhan rangkaian pengedaran dadah ini, termasuk dari mana bekalan diperoleh, sindiket yang terbabit, bagaimana suspek melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hubungan yang wujud dengan sindiket di Indonesia," katanya ketika dihubungi.

Menurut Hussein, lawatan kerja itu penting bagi melengkapkan siasatan terhadap keseluruhan rantaian pengedaran dadah selain mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang bersekongkol dalam kegiatan tersebut.

Mengulas mengenai kedudukan undang-undang suspek berusia 39 tahun itu, beliau mengesahkan Malaysia tidak akan mengemukakan permohonan ekstradisi kerana suspek perlu menjalani proses perundangan di Indonesia terlebih dahulu.

"Tiada permohonan ekstradisi dibuat. Kita akan terus menerima maklumat terkini daripada Polis Negara Republik Indonesia (POLRI), namun suspek wajib menjalani proses perundangan di sana," katanya.

Sebelum ini, juruterbang terbabit ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas dipercayai cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah ke negara berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Hussein memaklumkan polis telah mengambil keterangan daripada dua anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini selepas siasatan awal mendapati kedua-dua anggota berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan suspek.

Pada masa sama, polis turut meneliti kemungkinan wujud kaitan antara kes juruterbang itu dengan penahanan seorang lagi lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.

Menurut Hussein, siasatan terhadap kes di Surabaya berdepan cabaran apabila sindiket dipercayai menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas identiti pihak ketiga serta berkomunikasi menerusi platform media sosial bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

+ - reset