Berita Berita
Bekas calon PH DUN Rantau, isteri didakwa kendali klinik tidak berdaftar
SEREMBAN 6 Ogos -Bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bersama isterinya atas pertuduhan menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran yang sah.
Dr Azizul Hakim Mahdi, 35, dan Noor Ameera Rahmat, 35, yang masing-masing merupakan pengarah syarikat, turut didakwa bersama syarikat milik mereka.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikat berkenaan didakwa menyediakan sebuah klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Berikutan itu, syarikat terbabit didakwa melanggar Seksyen 4(1) Akta 586 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Dr Azizul Hakim dan Noor Ameera selaku pengarah syarikat didakwa secara bersama-sama menyediakan sebuah klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran sah di bawah Seksyen 27 Akta 586.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(2)(a) Akta 586 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(2)(aa) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Bandar Senawang di sini, kira-kira jam 11.30 pagi pada 8 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Haslina Zamani yang memohon tarikh sebutan bagi tujuan serahan dokumen.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Fateh Mohd Rahmat.
Berita berkaitan
August 6, 2026, 12:59 pm
Budak autisme 6 tahun lemas dipukul ombak ketika bermain di Pantai Kuala Kerteh
August 6, 2026, 12:51 pm
'Jiran kata dia pukul anjing sampai terberak', pemilik kongsi cara Rocky ditangkap
August 6, 2026, 12:14 pm
BN mahu kekal tanding 21 kerusi di Melaka, terbuka runding dengan parti lain - Ahmad Zahid
August 6, 2026, 10:42 am
'Orang ramai akan sokong Anwar jika henti guna perkataan 'kuil haram' - MAHIMA
August 6, 2026, 10:22 am
Pencuri tabung masjid 5 tahun dipenjara 69 bulan
August 6, 2026, 8:02 am
