Berita Berita
70,000 pil ekstasi lolos, PDRM diarah ambil alih kawalan keselamatan KLIA ganti polis bantuan
PUTRAJAYA 7 Ogos - Kerajaan bersetuju menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengendalikan aspek keselamatan penerbangan (aviation security) di lapangan terbang sebagai langkah segera memperkukuh kawalan keselamatan susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri selepas menerima taklimat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan segera.
"Jemaah menteri telah dimaklumkan oleh pihak Kemnterian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), bahawa beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan segera.
"Aviation security perlu ditempat anggota PDRM kerana pada waktu ini pasukan yang menguruskan adalah di kalangan polis bantuan," katanya pada sidang media mingguan, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes membabitkan seorang juruterbang Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas didakwa cuba menyeludup dadah ke negara itu.
Isnin lalu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan juruterbang berusia 39 tahun itu membawa lebih 70,000 pil ekstasi (MDMA) serta 2.7 gram methamphetamine dan melepasi semua pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat ke Jakarta bersama 170 penumpang.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini memaklumkan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas tidak mengesan sebarang imej mencurigakan pada bagasi suspek.
Beliau berkata, pihak berkuasa masih menunggu maklumat lanjut daripada polis berhubung modus operandi pembungkusan dan penyembunyian dadah yang digunakan suspek.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata Malaysia Aviation Group (MAG) turut diminta menyemak semula protokol saringan latar belakang serta pemeriksaan kesihatan terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang bagi memperkukuh integriti industri penerbangan negara.
"Pasukan PDRM dan AKPS diminta meneliti aspek-aspek yang mungkin disalahguna termasuk kelompangan yang mungkin ada, dan ini perlu ditutup dan diuruskan dengan segera," katanya.
Mengulas cadangan menghidupkan semula Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi, Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
"Pada waktu ini kita baru terima laporan lisan daripada MOT dan KDN, memandangkan kes di Indonesia itu masih aktif, maka kita perlukan sedikit masa untuk meneliti laporan penuh dan kita akan teliti pertimbang tindakan-tindakan susulan.
"Mengenai meletakkan anggota polis (di lapangan terbang) selepas kita mendapat laporan penuh kes tersebut, kita perlu tahu siapa lagi yang terlibat, mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan beberapa tindakan menyeluruh perlu diambil," katanya.
Terdahulu, Naib Presiden MCA, Lawrence Low menggesa kerajaan menghidupkan semula tiga pasukan khas polis yang dibubarkan pada 2018, iaitu STAGG, STING dan STAFOC.
Menurutnya, pembubaran ketiga-tiga pasukan itu telah mewujudkan kelompangan dalam keupayaan taktikal dan risikan polis bagi membanteras sindiket jenayah terancang serta kartel dadah antarabangsa.
Berita berkaitan
August 7, 2026, 11:48 am
Guru sekolah agama didakwa lapan pertuduhan amang seksual, cabul pelajar lelaki
August 7, 2026, 11:42 am
Juruwang cemas diacu pisau, kedai serbaneka disamun di Jasin
August 7, 2026, 11:23 am
Saifuddin arah siasatan telus tragedi renjatan elektrik ragut 3 nyawa polis
August 7, 2026, 11:16 am
Pelajar kolej dituduh bunuh bayi baru lahir di Kluang
August 7, 2026, 9:52 am
Ismail Sabri masuk IJN, kemungkinan akan didakwa di hospital
August 6, 2026, 9:45 pm
Ismail Sabri akan didakwa esok, pertuduhan bawah Akta SPRM
August 6, 2026, 9:17 pm
