TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga asing terdesak nak kerja di Malaysia hingga sanggup pinjam MyKad kawan, 22 ditahan dalam Op Getah JPN

By
|
Kongsi
image

 

KLANG 7 Ogos - Tindakan segelintir warga asing menggunakan kad pengenalan (MyKad) milik individu lain bagi mendapatkan pekerjaan terbongkar dalam Op Getah yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah kilang getah di Kapar, dekat sini, pada Khamis.

Operasi bersepadu yang bermula kira-kira jam 3 petang itu turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Semasa serbuan dijalankan, beberapa warga asing dikesan cuba bersembunyi di sebalik kotak dan mesin bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

Seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an mengaku menggunakan MyKad yang dipinjam daripada rakannya bagi mendapatkan pekerjaan di kilang berkenaan melalui bantuan ejen.

Menurutnya, dia telah bekerja secara sambilan di kilang itu sejak sebulan lalu dengan menerima upah harian sebanyak RM85.

"Saya tahu perbuatan itu salah, tetapi saya tiada pilihan kerana mahu bekerja. Sekarang saya hanya berserah kerana memang salah saya," katanya.

Seorang lagi warga Indonesia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pula mengaku menggunakan MyKad palsu yang dibeli pada harga RM300 ketika memohon pekerjaan dengan mendakwa dirinya berasal dari Sabah.

Lelaki itu berkata, dia telah bekerja di premis berkenaan hampir setahun menggunakan dokumen pengenalan palsu tersebut.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPN, Mazhad Abdul Aziz berkata, seramai 74 individu diperiksa dalam operasi berkenaan, termasuk 24 warga tempatan yang didapati memiliki MyKad sah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati 22 warga Indonesia berusia antara 28 hingga 55 tahun ditahan kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu atau MyKad milik individu lain untuk mendapatkan pekerjaan.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan semua yang ditahan dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut.

"Bagi kesalahan di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia pula, seramai 14 warga asing ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Mazhad berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan MyKad dan mengingatkan majikan supaya memastikan setiap pekerja warga tempatan memiliki kad pengenalan yang sah sebelum diambil bekerja.

Beliau turut menegaskan bahawa individu yang meminjamkan MyKad kepada pihak lain juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

+ - reset