Berita Berita
'Perak bukan macam Johor dan N Sembilan' - Kor Ming yakin 'tsunami gelombang merah' di Perak, DAP akan bangkit semula
IPOH 10 Ogos - DAP Perak yakin Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai kekuatan tersendiri di negeri itu dan tidak akan menerima nasib sama seperti yang berlaku di Johor serta Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, keyakinan itu berdasarkan kekuatan PH dalam meraikan kepelbagaian dan perpaduan masyarakat di negeri berkenaan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, beliau turut menjangkakan kebangkitan yang disifatkannya sebagai ‘tsunami gelombang merah rakyat’ bagi mempertahankan kekuatan PH di Perak.
“Ini adalah satu titik permulaan kepada tsunami gelombang merah rakyat, yang saya yakin akan bangkit di bumi bertuah Perak Darul Ridzuan.
“Kita percaya, Perak bukan Johor, Perak bukan Negeri Sembilan. Di Perak kita raikan kepelbagaian dan perpaduan bersama PH,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 DAP di Ipoh, pada Ahad.
Sebelum ini, PH mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, termasuk DAP yang kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini disandangnya.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berpandangan persefahaman antara PN dan Barisan Nasional (BN) berpotensi membawa kemenangan kira-kira 75 peratus di Perak, sekali gus membolehkan pembentukan kerajaan negeri.
Dalam ucapannya, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mempertahankan prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan berkenaan telah membawa pelbagai usaha dan perubahan meskipun baru mentadbir negara selama tiga tahun setengah.
“Kerajaan yang ada hari ini baru berusia tiga tahun setengah. Bandingkan dengan dahulu apa yang telah berlaku. Semalam sakau, hari ini sakau, esok pun sakau,” ujarnya.
Tambahnya, pentadbiran di bawah PH perlu terus mengekalkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat dan tidak tumbang hanya disebabkan persepsi tertentu.
Majlis makan malam berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 tetamu dan turut dihadiri veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.
Berita berkaitan
August 10, 2026, 4:13 pm
JPN sahkan anak lelaki warga Bangladesh layak miliki MyKad
August 10, 2026, 3:54 pm
Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian menggunakan kapal - Tok Mat
August 10, 2026, 3:01 pm
Rafizi dakwa Kerajaan Madani gagal bayar penuh komitmen pulihkan Tabung Haji
August 10, 2026, 2:53 pm
Polis serbu penempatan warga asing buru suspek rogol wanita OKU
August 10, 2026, 2:49 pm
Polis tumpaskan sindiket culik warga asing, dua suspek ditembak mati
August 10, 2026, 2:44 pm
Jangan biarkan kelompok ekstremis rosakkan perpaduan - Kor Ming
August 10, 2026, 1:17 pm
Kes rogol OKU: PDRM beri amaran rakyat Malaysia jangan ambil tindakan sendiri terhadap warga asing
August 10, 2026, 11:48 am
PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan, dipantau dua hari
August 10, 2026, 11:44 am
