Berita Berita
JPN sahkan anak lelaki warga Bangladesh layak miliki MyKad
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan kanak-kanak lelaki yang tular di media sosial selepas didakwa memiliki MyKad meskipun bapanya warga asing, sememangnya layak mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.
Pengesahan itu dibuat selepas JPN menjalankan pemeriksaan susulan isu tular membabitkan seorang lelaki warga asing yang memaparkan MyKad anak lelakinya di media sosial.
JPN berkata, hasil semakan mendapati bapa kanak-kanak berkenaan adalah pemegang pasport Bangladesh, manakala ibunya merupakan warga Malaysia dan perkahwinan pasangan terbabit didaftarkan secara sah mengikut undang-undang.
"Sebagai contoh, terdapat keadaan di mana anak yang mempunyai bapa bukan warganegara tetapi ibu adalah warga Malaysia layak memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia sekiranya memenuhi peruntukan dan syarat undang-undang yang ditetapkan seperti perkahwinan yang teratur semasa kelahiran.
"Justeru, seseorang berketurunan asing yang memiliki MyKad tidak semestinya bermaksud kewarganegaraan berkenaan diperoleh secara tidak sah," katanya kepada Harian Metro.
Menurut JPN, isu tular di media sosial membabitkan gambar individu berketurunan asing yang memiliki MyKad sering menimbulkan persoalan serta dakwaan kononnya taraf kewarganegaraan dan dokumen pengenalan diri itu mudah diperoleh.
Katanya, pemegang MyKad terdiri daripada individu yang telah memperoleh kewarganegaraan mengikut peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkuat kuasa, dan ia bukan semata-mata berdasarkan bangsa atau keturunan.
Bagaimanapun, JPN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur penipuan, pemalsuan dokumen atau pemerolehan dokumen pengenalan diri secara tidak sah dalam mana-mana kes.
"Sekiranya dikemukakan maklumat dan bukti yang lengkap, JPN boleh menjalankan penelitian dan siasatan terhadap kes yang dilaporkan," katanya.
Terdahulu, seorang pengguna akaun Threads berkongsi hantaran dan video memaparkan seorang lelaki disyaki warga asing bersama seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anaknya, sambil memegang MyKad berwarna biru serta bercakap dalam bahasa bukan Bahasa Kebangsaan.
Hantaran itu mempersoalkan bagaimana lelaki berkenaan boleh mendapatkan MyKad untuk anaknya, selain mendakwa kedua-duanya dilihat tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu.
Perkongsian berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet serta persoalan mengenai dakwaan bahawa dokumen pengenalan diri berkenaan mudah diperoleh.
Sementara itu, semakan di TikTok mendapati lelaki warga asing terbabit turut berkongsi video bersama gambar mereka yang menunjukkan seolah-olah kanak-kanak itu adalah anak hasil perkahwinannya dengan seorang wanita tempatan dan mempunyai status perkahwinan yang sah.
Bagaimanapun, tiada sebarang keterangan atau kenyataan secara langsung dikongsikan individu berkenaan menerusi akaun media sosialnya.
Berita berkaitan
August 10, 2026, 3:54 pm
Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian menggunakan kapal - Tok Mat
August 10, 2026, 3:01 pm
Rafizi dakwa Kerajaan Madani gagal bayar penuh komitmen pulihkan Tabung Haji
August 10, 2026, 2:53 pm
Polis serbu penempatan warga asing buru suspek rogol wanita OKU
August 10, 2026, 2:49 pm
Polis tumpaskan sindiket culik warga asing, dua suspek ditembak mati
August 10, 2026, 2:44 pm
Jangan biarkan kelompok ekstremis rosakkan perpaduan - Kor Ming
August 10, 2026, 1:17 pm
Kes rogol OKU: PDRM beri amaran rakyat Malaysia jangan ambil tindakan sendiri terhadap warga asing
August 10, 2026, 11:48 am
PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan, dipantau dua hari
August 10, 2026, 11:44 am
