TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan biarkan kelompok ekstremis rosakkan perpaduan - Kor Ming

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak memberikan ruang kepada kelompok ekstremis untuk memainkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan yang telah lama dibina di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan bahawa kepelbagaian kaum dan budaya yang wujud harus diraikan sebagai satu keistimewaan serta kekuatan kebangsaan, bukannya dijadikan alasan untuk memecahbelahkan masyarakat.

"Kepelbagaian budaya dan kaum adalah kekuatan negara kita. Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan-Dusun dan Orang Asli adalah satu keluarga. Kita adalah sanak saudara," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Dasar Perumahan Negara 2026-2035 di KLGCC Convention Centre, hari ini.

Menurut beliau, semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan tidak seharusnya diterjemahkan sekadar menerusi kibaran Jalur Gemilang, sebaliknya perlu dizahirkan dengan mempertahankan kestabilan negara dan memupuk perpaduan nasional.

Beliau turut menekankan bahawa usaha membina serta membangunkan Malaysia memerlukan peranan berterusan daripada segenap lapisan rakyat sepanjang masa, dan bukannya secara bermusim semata-mata.

"Ketiga-tiga perkara ini (kestabilan, perpaduan, dan keharmonian) merupakan kunci kejayaan negara kita. Sebab itu, kita jangan benarkan puak ekstremis cuba merosakkan perpaduan yang sekian lama kita jalin bersama," ujarnya lagi.

+ - reset