Berita Berita
Kes rogol OKU: PDRM beri amaran rakyat Malaysia jangan ambil tindakan sendiri terhadap warga asing
KUALA TERENGGANU 10 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau bertindak keterlaluan terhadap warga asing susulan kejadian rogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) intelektual di Kemaman.
Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja boleh mengganggu ketenteraman awam, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
“Sehubungan dengan itu, PDRM ingin menyampaikan nasihat dan peringatan tegas kepada seluruh lapisan masyarakat agar tidak mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan undang-undang terhadap warga asing.
“Sebarang tindakan keterlaluan ini boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.
“Serahkan sepenuhnya urusan dan tindakan untuk siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Terdahulu, PDRM Kontinjen Terengganu mengesahkan menerima laporan pada 7 Ogos lalu berhubung kejadian rogol membabitkan seorang wanita OKU intelektual berusia 23 tahun.
Susulan laporan itu, polis menjalankan tindakan susulan dan siasatan pantas sebelum menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman dan polis memperoleh perintah reman selama lima hari bermula 8 hingga 12 Ogos ini.
Mohd Khairi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan mandatori jika disabitkan kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata polis turut mengambil maklum mengenai satu perhimpunan yang diadakan penduduk tempatan di Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai.
Katanya, perhimpunan itu diadakan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati masyarakat setempat susulan kejadian jenayah yang melibatkan warga asing di kawasan berkenaan.
“Walau bagaimanapun, perhimpunan tersebut telah bersurai secara aman hasil perbincangan dan penerangan pihak polis.
“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes ini akan dilaksanakan secara telus, adil dan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan spekulasi, maklumat tidak sahih atau kenyataan berunsur provokasi yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kesalahan penggunaan media sosial secara tidak wajar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan diminta menyalurkannya ke balai polis berdekatan, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Berita berkaitan
August 10, 2026, 4:13 pm
JPN sahkan anak lelaki warga Bangladesh layak miliki MyKad
August 10, 2026, 3:54 pm
Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian menggunakan kapal - Tok Mat
August 10, 2026, 3:01 pm
Rafizi dakwa Kerajaan Madani gagal bayar penuh komitmen pulihkan Tabung Haji
August 10, 2026, 2:53 pm
Polis serbu penempatan warga asing buru suspek rogol wanita OKU
August 10, 2026, 2:49 pm
Polis tumpaskan sindiket culik warga asing, dua suspek ditembak mati
August 10, 2026, 2:44 pm
Jangan biarkan kelompok ekstremis rosakkan perpaduan - Kor Ming
August 10, 2026, 11:48 am
PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan, dipantau dua hari
August 10, 2026, 11:44 am
