Berita Berita
Kerjasama PKR dengan UMNO-BN perlu demi kestabilan, kemakmuran rakyat - Anwar
MELAKA 16 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian untuk terus mengutamakan kestabilan politik dan kemakmuran rakyat, termasuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.
Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata sebarang keputusan politik tidak seharusnya dipengaruhi kepentingan pangkat, kedudukan atau kemarahan, sebaliknya perlu dibuat berasaskan kepentingan rakyat dan negara.
"Dengan apa yang berlaku kebelakangan ini, ada yang bertanya bagaimana hubungan dengan UMNO dan BN. Saya kata kita mesti fikir dan harus lebih waras, ada hikmah dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
"Kita pilih kestabilan, kemakmuran rakyat melalui pertumbuhan ekonomi dan pilih bekerjasama terus dengan UMNO–BN pada peringkat Persekutuan supaya dua prinsip ini diteruskan," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Anwar berkata pendirian itu adalah pilihannya, manakala sebarang keputusan mengenai kerjasama berkenaan oleh UMNO dan BN terserah kepada kepimpinan parti masing-masing.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), memberi bayangan bahawa kerajaan dan partinya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya perkembangan politik memerlukan tindakan lebih tegas.
"Pilihan mereka, biar mereka jawab! Dan kita sebagai satu parti perjuangan, apa-apa pun kita bersedia. Kalau terpaksa langgar, kita terpaksa langgar," kata beliau.
Pada masa sama, Anwar menegaskan kepentingan semua pihak menggunakan kebijaksanaan dan mengelakkan tindakan keterlaluan yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah hasil kesedaran politik dan kecintaan kepada negara yang mengutamakan kestabilan, bukannya politik berpecah-belah.
Anwar turut menyifatkan hubungan peribadinya dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masih baik dan percaya sebarang perbezaan pendapat boleh dibincangkan antara sahabat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata setakat ini tidak mendengar sebarang pandangan negatif di peringkat Kerajaan Persekutuan berhubung kerjasama berkenaan, berbeza dengan keadaan di negeri.
Menggunakan perumpamaan pantun, Anwar berkata keadaan sebenar di sebalik sesuatu perkembangan politik mungkin tidak diketahui secara terbuka.
"Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu?" kata Anwar.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menilai sebarang langkah politik secara waras, penuh hikmah dan berpandukan kepentingan negara supaya setiap keputusan tidak dibuat secara gopoh atau keterlaluan.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada DAP, Amanah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menzahirkan sokongan supaya hubungan sedia ada dalam Kerajaan Perpaduan diteruskan.
"Saya ucap terima kasih. Permintaan mereka teruskan hubungan sehingga akhir penggal, jalankan tugas dengan baik, jaga kestabilan dan angkat kemajuan serta ekonomi negara," kata beliau.
Berita berkaitan
August 16, 2026, 5:21 pm
Anwar umum tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen, teliti kenaikan subsidi RON95 dan diesel
August 16, 2026, 3:50 pm
PKSK Onboard, Jejak Wahyu manfaat teknologi jadikan pembelajaran lebih interaktif
August 16, 2026, 2:51 pm
MARA gantung serta-merta petugas didakwa terlibat gangguan seksual
August 16, 2026, 1:14 pm
Polis siasat kes gaduh babit warga asing
August 16, 2026, 1:08 pm
'DAP bukan parti Cina, tapi untuk semua rakyat Malaysia' - Anthony Loke
August 16, 2026, 9:39 am
Guru direman, bantu siasatan amang seksual pelajar
August 16, 2026, 8:58 am
