Berita Berita
Anwar umum tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen, teliti kenaikan subsidi RON95 dan diesel
MELAKA 16 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen untuk disalurkan secara terus kepada rakyat.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan tidak akan disalurkan menerusi Ahli Parlimen, sebaliknya melalui agensi yang bertanggungjawab bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
“Saya nak umumkan, untuk setiap kawasan Parlimen, langsung kepada rakyat, tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai cadangan kenaikan kadar subsidi liter RON95 dan bantuan diesel, selain memaklumkan bahawa beliau bersetuju untuk mempertimbangkannya.
“Tapi yang pentingnya, saya setuju dan saya akan umumkan kadar yang sepatutnya kemudian,” katanya.
Kelmarin, Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada kongres sayap itu meminta kadar subsidi liter RON95 dinaikkan, manakala Naib Presiden PKR, Roland Engan, ketika menggulung perbahasan pada kongres hari ini mengesyorkan supaya bantuan diesel di Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR mahu kerenah birokrasi dalam urusan membantu usahawan, termasuk berkaitan dasar e-Invoice, diperbaiki.
“Ada yang mengeluh, kadang-kadang jentera kerajaan Persekutuan dan negeri, memang karenahnya luar biasa. Orang tunggu berjam-jam. Jadi sebab itu, soal usahawan ini, pertama, kerenah birokrasi mesti diperbaiki. Saya akui, kita boleh perbaiki.
“Ada yang mengeluh tentang e-Invoice. Saya di peringkat akhir untuk meneliti bagaimana boleh kita permudahkan. Kemudian juga tentang masalah yang berbangkit dengan e-commerce, juga kita akan cuba bereskan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam perkembangan sama, isu anak muda turut dibangkitkan dalam perbahasan kali ini, termasuk berkaitan kebajikan pekerja gig.
“Kita sudah buat Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), tapi nampak belum memenuhi tuntutan mereka,” katanya.
Berita berkaitan
August 16, 2026, 6:00 pm
Wanita ditumbuk, tegur kutipan parkir haram di Jalan Klang Lama
August 16, 2026, 4:09 pm
Kerjasama PKR dengan UMNO-BN perlu demi kestabilan, kemakmuran rakyat - Anwar
August 16, 2026, 3:50 pm
PKSK Onboard, Jejak Wahyu manfaat teknologi jadikan pembelajaran lebih interaktif
August 16, 2026, 2:51 pm
MARA gantung serta-merta petugas didakwa terlibat gangguan seksual
August 16, 2026, 1:14 pm
Polis siasat kes gaduh babit warga asing
August 16, 2026, 1:08 pm
'DAP bukan parti Cina, tapi untuk semua rakyat Malaysia' - Anthony Loke
August 16, 2026, 9:39 am
