TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nahas 11 kenderaan termasuk bas ekspres bawa 30 penumpang ragut empat nyawa di LPT

By
|
Kongsi
image

 

KUANTAN 1 September – Tragedi berdarah melanda Lebuhraya Pantai Timur (LPT) malam tadi apabila empat nyawa terkorban manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan mengerikan membabitkan 11 buah kenderaan di Kilometer (KM) 110.4 menghala ke Kuantan, dekat Lanchang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.44 malam.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan dua buah Proton Saga, dua Perodua Myvi, Toyota Alphard, sebuah bas ekspres, Proton S70, sebuah lori tanker, Honda CRV, Toyota Hilux dan Perodua Aruz.

“Tiga mangsa maut akibat tersepit dalam Proton S70 ialah Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak.

“Seorang lagi mangsa maut ialah lelaki dewasa berbangsa Cina yang berada dalam Honda CRV,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salahuddin berkata, empat lagi mangsa turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu termasuk pemandu lori tangki, penumpang Honda CRV, seorang wanita menaiki Toyota Hilux serta seorang lelaki yang cedera ringan dalam Proton Saga.

Tambah beliau, seramai 30 orang penumpang bas ekspres dilaporkan selamat, termasuk lima penumpang dalam Toyota Alphard, empat dalam Perodua Aruz, enam penumpang dalam dua buah Perodua Myvi dan pemandu sebuah Proton Saga yang mengalami cedera ringan.

Katanya, seorang daripada lima penumpang dalam Toyota Hilux turut dilaporkan mengalami kecederaan.

Jelasnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama dua jentera tiba di lokasi pada jam 11.24 malam, kira-kira 40 minit selepas menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan seorang lelaki tersepit dalam Honda CRV dan pemandu lori tanker sebelum mangsa cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Mohd Salahuddin berkata, tujuh anggota dari BBP Temerloh kemudian tiba bagi membantu mengeluarkan seorang lagi mangsa tersepit dalam Honda CRV.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis.

Tambahnya, enam anggota BBP Karak turut membantu mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dalam Proton S70 menggunakan peralatan khas.

“Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohd Salahuddin berkata, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.48 pagi sebelum anggota bomba menjalankan kerja pembersihan dan pemantauan. 

+ - reset