TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan tunggu makanan putus baru sedar nilainya' - Mat Sabu tegur rakyat jangan membazir makanan, jadikan situasi Gaza pengajaran

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 September – Keterjaminan makanan tidak boleh dipandang ringan hanya kerana bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, situasi di Gaza wajar dijadikan pengajaran bahawa makanan boleh menjadi antara keperluan paling bernilai apabila bekalan terputus, terutama ketika berdepan konflik dan krisis kemanusiaan.

“Waktu makanan ini kita ada lebih, kita kadang-kala sombong dan boros,” katanya ketika berucap pada pelancaran Laman Padi dan Pengiktirafan The Malaysia Book of Records sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), semalam.

Menurut Mohamad, keadaan penduduk Gaza yang terpaksa mengutip dan mengasingkan makanan yang bercampur pasir selepas gandum yang dibawa tumpah menunjukkan betapa tinggi nilai makanan ketika manusia berada dalam keadaan terdesak.

“Bila gandum yang dibawa itu tumpah, mereka kaut dan mereka ayak buang pasir untuk mereka makan yang tumpah itu. Makanan berada dalam keadaan sebegitu rupa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya mengelakkan pembaziran makanan, khususnya nasi, selaras dengan nasihat generasi terdahulu yang sentiasa menghargai setiap butir makanan.

Katanya, pada masa lalu, proses menghasilkan padi mengambil masa kira-kira enam bulan, namun kemajuan teknologi dalam sektor pertanian kini membolehkan tempoh berkenaan dipendekkan kepada sekitar tiga hingga empat bulan.

“Dulu, bila kita makan nasi, tumpah dia ke lantai, ibu kita ingatkan kutip nasi itu kerana sebiji nasi itu menunggu enam bulan untuk mendapat sebiji nasi,” jelasnya.

Mohamad berkata, kebanyakan generasi hari ini tidak melalui pengalaman zaman peperangan, menyebabkan kesedaran mengenai kepentingan memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin mungkin tidak setinggi generasi terdahulu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keterjaminan makanan perlu dijadikan salah satu agenda strategik negara dan tidak hanya dilihat dari sudut pengeluaran sektor pertanian.

“Kita sedang membina masa depan keterjaminan makanan negara,” katanya.

+ - reset