TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Manfaat cuti umum, 400 peserta teruja sertai fenomena PKSK Merdeka di Universiti Malaya

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2026 – Seramai 400 pelajar menyambut Hari Kebangsaan dengan cara tersendiri apabila menyertai Fenomena PKSK Merdeka 2026, bengkel persediaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) anjuran Fly High Education Centre (Fly High) yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Program selama dua hari itu menghimpunkan pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 yang sedang membuat persediaan bagi kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) serta sekolah khusus lain.

Bersempena Hari Kebangsaan, para peserta turut digalakkan mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan atau pakaian seragam kegiatan kokurikulum seperti Pengakap, Puteri Islam dan Kadet Remaja Sekolah, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih ceria dan patriotik.

Pengasas Fly High Education Centre, Puan Hajjah Wan Rafidah Wan Ali, berkata pendekatan tersebut memberi peluang kepada pelajar menghayati semangat kemerdekaan dalam suasana pembelajaran yang berbeza.

“Bagi kami, kemerdekaan bukan sekadar tentang sambutan, tetapi bagaimana kita mempersiapkan generasi muda untuk masa depan. Pendidikan merupakan salah satu cara untuk kita mengisi kemerdekaan,” katanya.

Menurut beliau, program berkenaan turut memberi penekanan kepada keyakinan diri dan persediaan menyeluruh kerana pelajar bukan sahaja perlu memahami bentuk pentaksiran, malah perlu mempunyai kesediaan mental ketika menghadapinya.

“Kita mahu anak anak ini pulang dengan ilmu dan keyakinan untuk mencuba. Setiap pelajar mempunyai impian masing masing dan tugas kita adalah membantu mereka melihat bahawa impian itu boleh dicapai dengan usaha,” katanya.

Fenomena PKSK Merdeka turut diserikan dengan kehadiran Anggrek Adenan, 9, anak kepada penyanyi Adira Suhaimi, sebagai penampilan khas.

Anggrek yang muncul sebagai juara Program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua turut menerima Sijil Penghargaan Keistimewaan Pendidikan GenFly selepas dipilih sebagai ‘Study Buddy GenFly’.

Keistimewaan tersebut membolehkan Anggrek menerima program pembelajaran tambahan, pengayaan akademik, bahan pendidikan dan bimbingan pembelajaran yang ditaja oleh Fly High sehingga usia 12 tahun.

Dalam program yang sama, satu segmen menulis surat kepada ibu kendalian penceramah motivasi, Nazira Nazir, turut mencuri perhatian apabila para peserta diberi ruang meluahkan penghargaan kepada insan yang banyak menyokong perjalanan mereka.

Antara peserta yang sanggup merentas negeri demi menyertai bengkel berkenaan ialah dua sepupu dari Kelantan, yang melihat peluang tersebut sebagai persediaan penting sebelum menghadapi PKSK.

Muhammad Rifqi Sufi Rashid, 12, hadir bersama sepupunya, Muhammad Al Fatih bin Mohmaed Rosli. 

Kedua-dua sepupu itu datang dari Kelantan untuk menyertai program tersebut selepas membuat persediaan sejak April lalu menerusi pembelajaran dan kelas tuisyen di rumah.

Bagi Muhammad Rifqi Sufi, peluang menyertai bengkel berkenaan memberi semangat tambahan untuk terus berusaha dalam persediaan menuju sekolah pilihan.

Muhammad Al Fatih pula berkata dia mahu memberikan persediaan terbaik bagi mencapai impiannya, termasuk cita-cita untuk menjadi pegawai bomba pada masa hadapan.

+ - reset