Berita Berita
Lori tangki simen hilang kawalan punca empat maut dalam nahas 11 kenderaan di LPT1
TEMERLOH 1 September – Empat maut termasuk sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka selepas lori tangki simen dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 malam itu, lori tangki berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan menghala ke arah Pantai Timur.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati semua kenderaan terbabit dalam kemalangan bergerak dari arah yang sama.
“Setibanya di lokasi kejadian, lori tangki simen itu hilang kawalan sebelum melanggar beberapa buah kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan di atas jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV iaitu lelaki berusia 18 tahun parah, manakala bapanya yang berusia 55 tahun meninggal dunia di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Azry, nahas itu turut mengorbankan pemandu Proton S70, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, bersama isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, dan anak lelaki mereka yang berusia empat tahun.
Pemandu lori tangki berusia 52 tahun pula mengalami kecederaan parah.
Mayat keempat-empat mangsa termasuk tiga beranak itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.
Mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berita berkaitan
September 1, 2026, 3:42 pm
Masalah komunikasi punca polemik Azizulhasni tercetus, Menteri Sukan ambil tanggungjawab sepenuhnya
September 1, 2026, 3:18 pm
Cadangan wujud Hospital Mara tak patut dikaitkan isu perkauman
September 1, 2026, 3:07 pm
Amanat Merdeka: Beban rakyat jadi keutamaan, bukti kerajaan MADANI dengar suara rakyat - Aiman Athirah
September 1, 2026, 3:03 pm
Bekas pekerja gudang dicekup kurang 12 jam selepas pecah masuk premis di Cheras
September 1, 2026, 2:58 pm
Kemunculan ikan kanai di Sungai Kuala selepas 15 tahun tarik perhatian
September 1, 2026, 2:42 pm
'Belia jangan sekadar jadi graduan, jadilah tenaga mahir yang diburu industri' - Ahmad Zahid
September 1, 2026, 1:17 pm
