Berita Berita
Amanat Merdeka: Beban rakyat jadi keutamaan, bukti kerajaan MADANI dengar suara rakyat - Aiman Athirah
KUALA LUMPUR 1 Sept - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Amanat Merdeka yang menyentuh pelbagai langkah bagi meringankan beban rakyat disifatkan sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras perjuangan.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, antara langkah yang diumumkan termasuk peningkatan had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, pengecualian e-Invois bagi perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun serta pelbagai bantuan untuk rakyat dan sektor perniagaan.
Beliau berkata, langkah berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan yang mendengar suara rakyat dan mengambil kira cabaran semasa termasuk peningkatan kos sara hidup serta kos operasi perniagaan.
Menurutnya, kemerdekaan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal dan pencapaian ekonomi, sebaliknya turut diterjemahkan melalui kemampuan negara memastikan rakyat hidup lebih sejahtera, mendapat peluang yang adil serta menikmati hasil kemajuan secara bersama.
“Sempena sambutan kemerdekaan ini, pengumuman Amanat Merdeka oleh YAB PMX membawa mesej yang jelas bahawa kemerdekaan mesti diterjemahkan melalui kesejahteraan rakyat.
"Negara yang benar-benar maju bukan hanya mempunyai pertumbuhan ekonomi yang kukuh, tetapi sebuah negara yang memastikan rakyatnya merasa dilindungi, dihargai dan diberikan peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Aiman Athirah berkata, keputusan mengembalikan had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan mengambil kira realiti kehidupan rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja, berniaga dan mengurus kehidupan harian.
Katanya, langkah itu memberi ruang kelegaan kepada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup, selain mengekalkan prinsip pengurusan subsidi secara bertanggungjawab supaya manfaat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Subsidi bukan sekadar soal jumlah yang dibelanjakan, tetapi bagaimana setiap ringgit wang rakyat diurus secara berhemah dan dipulangkan dalam bentuk manfaat yang paling berkesan kepada rakyat,” katanya.
Dalam aspek perniagaan pula, beliau menyambut baik keputusan menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun.
Menurutnya, langkah itu mengambil kira cabaran yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk peningkatan kos operasi, keperluan mendapatkan modal dan persaingan dalam landskap ekonomi digital.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan membolehkan transformasi digital negara dilaksanakan secara lebih inklusif tanpa mengetepikan peniaga kecil yang menjadi penggerak ekonomi di peringkat akar umbi.
Aiman Athirah turut melihat peningkatan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion serta penyediaan geran RM200 juta bagi membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam dan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah sebagai satu bentuk pelaburan sosial.
Katanya, golongan berkenaan mungkin beroperasi dalam skala kecil, namun memainkan peranan besar dalam menggerakkan ekonomi komuniti dan membantu menampung kehidupan keluarga.
“Mereka adalah wajah sebenar ekonomi rakyat; ibu yang menjana pendapatan dari rumah, penjaja yang mencari rezeki setiap hari dan peniaga kecil yang memastikan ekonomi setempat terus bergerak.
“Justeru, sokongan kepada mereka bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu pengiktirafan terhadap usaha, daya tahan dan sumbangan mereka kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut menyambut baik peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM500 juta, usaha memperkukuh pendigitalan perkhidmatan kesihatan serta penyediaan akses langganan perisian kecerdasan buatan (AI) kepada golongan belia.
Menurutnya, pendidikan, kesihatan dan teknologi merupakan asas penting dalam menentukan masa depan negara.
Bagaimanapun, Aiman Athirah menegaskan keberkesanan sesuatu dasar tidak hanya bergantung kepada jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana manfaat itu benar-benar sampai kepada rakyat.
Katanya, kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan peruntukan disalurkan dengan kadar segera, proses permohonan serta penyampaian bantuan dipermudah dan tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima manfaat.
“Kerajaan yang baik bukan hanya dinilai melalui dasar yang diperkenalkan, tetapi melalui keupayaan melaksanakan dasar tersebut dengan cekap, telus dan berkesan,” katanya.
Belanjawan 2027 perlu teruskan reformasi
Dalam pada itu, beliau berkata langkah yang diumumkan menerusi Amanat Merdeka perlu disusuli pendekatan lebih menyeluruh melalui Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
Antara perkara yang perlu terus diberi perhatian termasuk meningkatkan pendapatan rakyat, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti, memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana, memperluas peluang ekonomi digital serta mengukuhkan daya saing negara.
Pada masa sama, katanya, penelitian terhadap dasar percukaian dan rasionalisasi subsidi perlu diteruskan secara berhati-hati dengan mengambil kira kemampuan rakyat serta keperluan memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.
“Keseimbangan antara kebajikan rakyat dan tanggungjawab fiskal negara amat penting supaya kerajaan terus mempunyai kemampuan untuk membantu rakyat bukan sahaja hari ini, tetapi juga pada masa hadapan,” katanya.
Aiman Athirah berkata, usaha berterusan Kerajaan MADANI yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan membuktikan bahawa kemajuan negara bukan semata-mata mengejar angka pertumbuhan ekonomi, sebaliknya memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati setiap lapisan masyarakat.
“Inilah semangat Malaysia MADANI: sebuah kerajaan yang bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan, tetapi memastikan kemajuan negara diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Berita berkaitan
September 1, 2026, 3:42 pm
Masalah komunikasi punca polemik Azizulhasni tercetus, Menteri Sukan ambil tanggungjawab sepenuhnya
September 1, 2026, 3:18 pm
Cadangan wujud Hospital Mara tak patut dikaitkan isu perkauman
September 1, 2026, 3:03 pm
Bekas pekerja gudang dicekup kurang 12 jam selepas pecah masuk premis di Cheras
September 1, 2026, 2:58 pm
Kemunculan ikan kanai di Sungai Kuala selepas 15 tahun tarik perhatian
September 1, 2026, 2:42 pm
'Belia jangan sekadar jadi graduan, jadilah tenaga mahir yang diburu industri' - Ahmad Zahid
September 1, 2026, 1:41 pm
Lori tangki simen hilang kawalan punca empat maut dalam nahas 11 kenderaan di LPT1
September 1, 2026, 1:17 pm
