TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Belia jangan sekadar jadi graduan, jadilah tenaga mahir yang diburu industri' - Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 1 September – Golongan muda di luar bandar digesa menceburi bidang bernilai tinggi bagi melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi yang benar-benar diperlukan industri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mahu sekadar melahirkan graduan yang mencari pekerjaan, sebaliknya tenaga mahir berkompetensi tinggi sehingga menjadi rebutan industri.

“Kita tidak mahu sekadar melahirkan graduan yang mencari pekerjaan. Kita mahu melahirkan tenaga mahir yang mempunyai kompetensi sehingga industri sendiri mencari mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Belia Desa 2026, di sini, hari ini.

Menurutnya, perubahan pesat dunia menerusi perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi menyebabkan kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memastikan belia kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, golongan muda perlu dilengkapi kemahiran praktikal, keupayaan menyelesaikan masalah serta kebolehan mencipta nilai bagi membolehkan mereka bersaing dalam ekonomi masa depan.

“Anak muda mesti ada kemahiran yang boleh digunakan, kemampuan menyelesaikan masalah dan keupayaan mencipta nilai. Sebab itu saya selalu percaya bahawa skills are the new currency in today’s economy,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata belia desa tidak seharusnya takut untuk keluar mencari peluang pendidikan dan pekerjaan di luar kawasan asal bagi memperkukuh kemahiran, pengalaman serta jaringan mereka.

Katanya, pengalaman yang diperoleh di bandar mahupun luar negara boleh dimanfaatkan untuk membantu membangunkan komuniti desa apabila mereka mencapai kejayaan.

“Kalau saudara menjadi jurutera, kongsikan kepakaran. Kalau menjadi usahawan, bukakan pasaran kepada pengusaha di tempat asal.

“Kalau sudah berjaya dalam industri, bantu anak muda lain mendapatkan peluang dan jaringan,” katanya.

+ - reset