TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Dia cakap nak datang wedding' rakan kongsi momen terakhir sekeluarga maut insiden LPT

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 SEPTEMBER - Berita pemergian tragis sekeluarga selepas menghadiri sambutan perarakan Hari Kebangsaan melahirkan rasa dukacita dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan serta pelanggan setia kedai kopi mereka. 

Lebih menyayat hati, insiden yang berlaku di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur berdekatan Lanchang, Temerloh itu meragut nyawa empat individu termasuk pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka selepas terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob mengesahkan kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 10.55 malam itu melibatkan sebuah lori tangki simen, sebuah bas, serta sembilan buah kereta. 

Tiga beranak yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan isterinya Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, bersama anak lelaki mereka yang berusia empat tahun selepas kereta Proton S70 yang dinaiki terbabit dalam nahas tersebut. 

Kemalangan sama turut mengorbankan seorang penumpang kereta Honda CRV, Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor.

Tragedi hitam yang berlaku ketika perjalanan pulang itu nyata mengejutkan ramai pihak, terutamanya rakan rapat yang tidak menyangka perbualan terakhir menjadi petanda perpisahan buat selama-lamanya. 

Seorang pengguna, Syazanasyariff berkongsi rasa tidak percaya atas kehilangan sahabat baiknya itu. 

Beliau mendedahkan bahawa arwah yang juga bekas teman sebilik, rakan serumah dan kawan sekelasnya ada menghantar mesej pada bulan lalu untuk memaklumkan hasrat menghadiri majlis perkahwinannya. 

Dalam nada penuh hiba, beliau meluahkan rasa sedih yang amat sangat sambil memohon orang ramai agar memanjatkan doa serta sedekah Surah Al-Fatihah buat seluruh ahli keluarga arwah.

Bukan sahaja rakan persekolahan, malah kenalan lain turut merasai kenangan manis yang ditinggalkan oleh keluarga berkenaan. 

Salah seorang kenalan berkongsi anak arwah kelihatan amat gembira ketika menyertai acara sukan di tadikanya kira-kira seminggu yang lalu, sambil mendoakan agar syurga menjadi tempat rehat terindah buat anak kecil berkenaan.

Arwah Naza dan Sofiya juga cukup dikenali ramai sebagai pemilik perniagaan tempatan @secangkircafe di Kuantan. 

Pemergian serentak satu keluarga itu disifatkan sebagai satu kehilangan yang amat besar dan sukar diterima oleh keluarga serta rakan-rakan yang mengenali keperibadian mereka.

+ - reset