TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Pempengaruh AS buat perangai mandi atas Lebuh Raya DUKE

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 SEPTEMBER — Tindakan pengembara luar negara yang dipercayai menjadikan lorong kecemasan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sebagai lokasi persinggahan persendirian mencetuskan pertikaian dan rasa kurang senang pengguna jalan raya.

Kejadian itu tular selepas rakaman memaparkan kenderaan jenis Dodge berwarna ungu yang diubah suai untuk aktiviti 'overlanding' diletakkan di bahu lebuh raya.

Pengguna media sosial, Kadir Jamal turut berkongsi rasa kesal terhadap tindakan berisiko itu dengan menegaskan bahawa kawasan lebuh raya berkenaan merupakan zon berisiko kemalangan. 

Dia menyatakan bahawa lebuh raya yang sibuk bukanlah tempat sesuai untuk menjalankan aktiviti harian seperti mandi, menukar pakaian atau memasak di tepi jalan.

Sebelum ini, pemilik kenderaan yang menggunakan akaun TikTok Sinclair Search pernah menarik perhatian ramai menerusi perkongsian pengalaman mengembara di Malaysia. 

Dalam hantarannya, Sinclair meluahkan rasa kagum terhadap kesantunan polis tempatan yang menyapanya secara berhemah di luar sebuah masjid, berbeza dengan pengalaman di negara lain yang mana beliau selalunya ditahan atau dikenakan saman.

Dalam hantaran yang sama, pengembara berkenaan yang kini telah melawat lebih 28 buah negara menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat tenang dan beranggapan pihak berkuasa tempatan tidak terlalu sibuk ekoran kadar jenayah yang rendah. 

Bagaimanapun, tindakan mengabaikan keselamatan jalan raya demi keselesaan peribadi di lebuh raya tetap menerima teguran keras daripada warga tempatan.

+ - reset