TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki pekak dan bisu kelar leher kanak-kanak, bakar 4 nyawa gagal rayuan, hukuman ke tali gantung kekal

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 4 Sept - Hukuman mati terhadap seorang lelaki pekak dan bisu kerana membunuh empat sekeluarga dalam kejadian kebakaran di Tanjung Sepat, Selangor, sembilan tahun lalu kekal selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin yang bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, sebulat suara menolak rayuan Kang Chang Heng, 47, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Dalam prosiding itu, seorang jurubahasa isyarat membantu Kang memahami perjalanan kes berkenaan.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah betul apabila membuat kesimpulan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen penting bagi kesemua pertuduhan melampaui keraguan munasabah.

"Kami tidak mendapati sebarang salah arah yang material, salah tafsir atau salah faham terhadap keterangan atau kesilapan prinsip yang mewajarkan campur tangan di peringkat rayuan.

"Oleh itu, kami mengekalkan hukuman mati yang dikenakan terhadap perayu (Kang)," katanya.

Kang didapati bersalah membunuh pasangan warga emas, Chia Tee Nang, 73, dan isteri, Lim Mai Shak, 68, yang juga ibu bapa teman wanitanya serta dua cucu mereka, Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9.

Keempat-empat mangsa maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat, antara jam 4 hingga 5 pagi pada 13 Disember 2017.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Kang kerana sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi cucu pasangan itu, Andrew Chia Zeng Haol, yang ketika itu berusia 11 tahun.

Noorin berkata, mahkamah turut meneliti pembelaan Kang yang mendakwa dia meminjam wang daripada seorang along dengan memberikan alamat rumah mangsa sebagai cagaran.

"Kang mendakwa dia pergi ke rumah berkenaan selepas dimaklumkan kediaman itu sudah dibakar," katanya.

Noorin berkata, dalam pembelaan, Kang sendiri mengakui tidak memberitahu saksi pendakwaan ke-22, Christina Chia Hui Ling bahawa dia berada di rumah keluarganya pada pagi kejadian, walaupun mengetahui ibu bapa Christina meninggal dunia dalam kebakaran itu.

"Dia juga mengakui tidak membuat laporan polis mengenai mesej yang didakwa diterima daripada along atau mengenai pembakaran rumah berkenaan," katanya.

Menurut Noorin, pembunuhan itu amat serius dan kejam kerana empat mangsa, termasuk dua warga emas dan dua kanak-kanak, kehilangan nyawa dalam satu kejadian.

"Keterangan yang diterima mahkamah bicara ialah perayu menyerang seorang wanita warga emas ketika wanita itu berada di kerusi kayu, mengejar dan terus menyerangnya selepas wanita itu terjatuh.

"Perayu kemudian menyerang SP1 (Andrew), seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan mengelar lehernya sebanyak dua kali, selain rumah itu dibakar dengan sengaja," katanya.

Katanya, SP1 terselamat namun mengalami serangan fizikal yang ganas selepas menjadi saksi kepada kejadian itu.

"Mahkamah turut mengambil kira keterangan SP1 bahawa selepas sedar semula, dia melihat api sedang marak dan mendengar jeritan mereka yang terperangkap di dalam rumah," katanya.

Mengulas keadaan Kang yang pekak dan bisu, Noorin berkata, keadaan itu relevan dalam mempertimbangkan keadaan peribadi dan pembelaannya.

"Bagaimanapun, berdasarkan keterangan dikemukakan, keadaan itu tidak menghalang Kang berkomunikasi dengan orang lain menggunakan bahasa isyarat.

"Sekiranya Kang benar-benar berada di situ dengan tujuan untuk menyelamatkan mangsa, perayu boleh mendapatkan bantuan daripada orang yang melalui jalan itu.

"Kami tidak menganggap keadaan pekak dan bisu perayu sebagai faktor yang memberatkan dan tidak menganggap keadaan itu sebagai faktor yang cukup meringankan sehingga dapat mengatasi tahap keseriusan luar biasa kesalahan yang dilakukan," katanya.

+ - reset