TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KLN teruskan usaha pengesanan, 55 warga Malaysia belum dapat dihubungi di Nepal

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 SEPTEMBER -  Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China, kekal 55 orang.

Menerusi satu kenyataan, KLN berkata, pihaknya sentiasa berhubung secara langsung dengan waris terdekat dan terus menyalurkan perkembangan terkini seiring dengan usaha pencarian, pengesahan dan tindakan berkaitan yang sedang dilaksanakan.

“Maklumat mengenai kes individu terus disampaikan secara langsung kepada keluarga masing-masing, manakala perkembangan yang dimaklumkan kepada orang ramai tertumpu kepada maklumat sudah disahkan dan boleh dikongsi secara meluas,” menurut kenyataan itu.

KLN berkata, pihaknya akan terus mendapatkan pengesahan melalui saluran diplomatik dengan Kerajaan Republik Rakyat China berhubung kemungkinan pertindihan antara laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Tibet, China.

“Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kekal berhubung dengan pihak berkuasa China, manakala KLN turut berhubung dengan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan rasmi.

“Malaysia juga sudah menyatakan kesediaan untuk menyediakan kepakaran mencari dan menyelamat yang bersesuaian sekiranya bantuan diperlukan oleh pihak berkuasa China,” katanya.

Menurut KLN, tindak balas Malaysia terhadap bencana diselaraskan melalui kementerian di Putrajaya, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

“Ia dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia dan agensi-agensi berkaitan yang lain,” katanya.

Bencana itu berlaku pada 26 Ogos lalu di daerah Rasuwa, Nepal berhampiran sempadan Nepal-China apabila banjir besar dan tanah runtuh melanda kawasan sepanjang Lembah Sungai Trishuli.

Ia dipercayai berpunca daripada keruntuhan glasier yang mencetuskan aliran deras air, ais, batu dan lumpur.

Kawasan terjejas termasuk Rasuwagadhi yang menjadi laluan penting menghubungkan Nepal dengan Tibet dan sering digunakan pelancong serta jemaah dalam perjalanan ke Mount Kailash.

+ - reset