TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

11 anggota SMART berlepas ke Nepal, fokus cari rakyat Malaysia

By
|
Kongsi
image

 

SUBANG 5 Sept – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal pagi ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), dengan keutamaan diberikan kepada usaha mengesan rakyat Malaysia yang dipercayai berada di kawasan terjejas.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, seramai 11 anggota SMART termasuk seorang komander digerakkan dalam misi kemanusiaan itu selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Nepal.

Beliau berkata, pasukan itu akan memberi tumpuan kepada kawasan terakhir rakyat Malaysia dipercayai berada, namun operasi menyelamat akan dilakukan terhadap semua mangsa yang ditemui.

Menurutnya, misi berkenaan dijangka berlangsung selama 10 hari bermula hari ini dengan pasukan SMART diterbangkan menggunakan pesawat A400M Atlas milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pasukan itu diketuai Komander Kontinjen, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa bersama 10 pegawai dan anggota yang mempunyai kepakaran dalam operasi mencari dan menyelamat, pengendalian dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal.

SMART turut membawa kira-kira 12.4 tan peralatan termasuk kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi serta peralatan khas untuk operasi menyelamat di kawasan terowong.

Turut dibawa sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak muatan 10 tan bagi menyokong kelancaran operasi di Nepal.

Meor Ismail berkata, lokasi sebenar penugasan SMART masih belum ditetapkan dan hanya akan diketahui selepas pasukan itu tiba di Nepal.

Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan berkenaan telah diberikan gambaran awal bahawa mereka berkemungkinan digerakkan ke kawasan melibatkan operasi menyelamat di terowong.

Sebaik tiba di Nepal, anggota SMART akan menerima taklimat mengenai keadaan semasa daripada wakil Malaysia sebelum diberikan arahan pengoperasian oleh pihak berkuasa negara itu.

Sementara itu, Abdul Manaf berkata, misi kali ini berteraskan semangat kemanusiaan dengan pasukan turut membawa kelengkapan komunikasi, perubatan dan kesihatan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang operasi.

Meor Ismail turut merakamkan penghargaan kepada TUDM atas kerjasama menyediakan pengangkutan udara serta Kementerian Luar Negeri yang membantu menguruskan kelulusan bagi membolehkan SMART menjalankan operasi di Nepal.

Misi berkenaan turut melibatkan 31 kru TUDM dengan Leftenan Kolonel Phanom a/l Achuan bertindak sebagai Komander Misi bagi penerbangan tersebut.

+ - reset