TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Warga asing dakwa bayar polis setiap bulan untuk bawa motosikal?

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 SEPTEMBER - Penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan dakwaan seorang lelaki warga asing membuat pembayaran secara bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi membolehkannya menunggang motosikal tanpa lesen sah telah mencetuskan persoalan ramai.

Menerusi rakaman berdurasi 30 saat itu, lelaki berkenaan yang menunggang motosikal ditahan oleh orang awam selepas disyaki tidak mempunyai lesen memandu yang sah. 

Apabila disoal mengenai dokumen perjalanannya, warga asing tersebut secara bersahaja mendakwa dia membuat bayaran secara berkala "satu bulan satu kali" di IPD Gombak.

Pernyataan bersahaja itu nyata mengejutkan individu yang merakam video berkenaan, yang membalas dengan pertikaian atas dakwaan pembabitan balai polis dalam sebarang urusan transaksi sebegitu.

Penggunaan motosikal tanpa lesen dalam kalangan warga asing merupakan antara isu hangat yang sering dibangkitkan oleh orang ramai.
 
Dakwaan melampau seperti pembayaran bulanan kepada pihak polis itu menambah kebimbangan terhadap pematuhan undang-undang serta integriti penguatkuasaan.

Setakat ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau IPD Gombak masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan atau menafikan kesahihan dakwaan tersebut, mahupun menjelaskan tindakan lanjut ke atas individu di dalam video berkenaan.

+ - reset