Berita Berita
Pelajar UiTM maut ketika sertai cabaran ketahanan, lapan lagi tidak sedarkan diri
MARAN 6 September – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) meninggal dunia manakala lapan lagi dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah berkaitan haba ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di kampus UiTM Jengka, kelmarin.
Mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital pSultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, mengesahkan mangsa adalah antara dua pelajar yang menerima rawatan di HoSHAS, manakala tujuh lagi dirawat di Hospital Jengka.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati pelajar terbabit mengalami masalah berkaitan haba, termasuk kekurangan oksigen ketika menyertai acara ketahanan berkenaan.
"Perkembangan lanjut akan diberikan selepas menerima laporan bedah siasat Fadhlan Fakhry," katanya.
Sementara itu, UiTM Pahang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan bantuan sewajarnya sedang diberikan bagi menguruskan segala keperluan keluarga.
"Universiti menggerakkan bantuan menyeluruh bagi memastikan segala urusan berkaitan jenazah, dokumentasi, pengangkutan serta sokongan emosi kepada keluarga diuruskan dengan sebaik mungkin dan tanpa kesulitan," katanya.
Menurut UiTM, KKEC merupakan program tahunan yang membabitkan peserta Komander Kesatria dari cawangan universiti itu di seluruh negara dan dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 8 September di kampus UiTM Pahang, Jengka.
Universiti itu berkata, program berkenaan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.
"Semua peserta diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum program bermula, selain pemeriksaan kesihatan berkala sebelum setiap acara.
"Beberapa peserta sebelum ini diminta menarik diri selepas gagal dalam saringan akhir," katanya.
UiTM berkata, pihaknya mengambil serius kejadian itu dan akan terus memantau keadaan bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terbabit terpelihara.
Sebagai langkah susulan, penganjur turut memutuskan untuk membatalkan semua aktiviti luar KKEC yang dijadualkan berlangsung hari ini sebagai komitmen terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar.
Fadhlan Fakhry yang mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam pertandingan itu merupakan pelajar tahun akhir program diploma di kampus Seremban.
KKEC ialah pertandingan ketahanan fizikal dan mental tahunan yang direka untuk menguji kekuatan fizikal, kemahiran taktikal, ketangkasan serta kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.
Berita berkaitan
September 6, 2026, 6:01 pm
Semua sekolah di Labuan beroperasi seperti biasa
September 6, 2026, 6:00 pm
Malaysia mungkin terkesan dari letusan gunung anak Krakatau?
September 6, 2026, 5:53 pm
'Di luar bidang kuasa Imigresen' - Rohingya ada kad UNCHR, tak sama macam PATI
September 6, 2026, 3:27 pm
PM nafi siasatan ke atas pemimpin politik disebabkan dendam
September 6, 2026, 3:23 pm
MAS, Batik Air terpaksa batal 20 penerbangan Malaysia-Jakarta akibat letupan gunung berapi
September 6, 2026, 3:21 pm
RCI TH: Reman bekas menteri disambung 2 hari
September 6, 2026, 3:13 pm
Penantian 11 tahun berakhir, SJKT Sungai Bakap bakal miliki sekolah baharu - Fadhlina
September 6, 2026, 10:11 am
