TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Muka dan kepala berlumuran darah, nenek menggeletar lihat cucu 2 tahun parah digigit lima anjing liar di depan rumah

By
|
Kongsi
image

BATU PAHAT, 6 Sept - Seorang nenek melalui detik cemas apabila menemui cucunya berusia dua tahun sedang diserang lima ekor anjing liar di hadapan rumah mereka di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, pagi semalam.

Darlinda Darlis, 56, berkata dia terkejut apabila melihat Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi terbaring dalam keadaan parah dengan kecederaan di kepala dan muka.

"Saya menjerit lihat cucu terbaring dengan kepala dan mula dipenuhi darah, dikelilingi lima ekor anjing".

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi selepas kanak-kanak itu dihantar oleh ibu bapanya ke rumah Darlinda.

Menurut Darlinda, ia merupakan kali pertama Nur Haira tinggal bersamanya kerana sebelum ini kanak-kanak berkenaan lebih kerap berada bersama datuk sebelah bapanya yang tinggal tidak jauh dari situ.

"Ibu bapa Nur Haira ke Johor Bahru kerana urusan kerja, biasanya dia tinggal di sana (rumah datuk bapa) namun disebabkan abang dan kakaknya sudah lama di sini, dia nak ikut sekali.

"Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil minum susu manakala saya bersiap untuk mandi.

"Selesai mandi, saya cari Nur Haira dan ternampak pintu rumah terbuka. Saya keluar dan terkejut melihat lima ekor anjing menggigitnya.

"Anak saya terdengar jeritan lalu keluar menyelamatkan Nur Haira yang cedera parah di kepala dan muka," katanya ketika ditemui, hari ini.

Darlinda berkata, dia bersama anaknya segera membawa Nur Haira ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum kanak-kanak itu dirawat di zon merah dan terpaksa ditidurkan.

"Saya tak boleh bayangkan keadaannya ketika itu, saya nampak mata dia terbuka namun tidak bercakap. Saya hanya menangis sepanjang perjalanan ke hospital kerana tidak sanggup melihat keadaannya.

"Tidak lama selepas itu, Nur Haira dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kerana kecederaan parah dialaminya," katanya.

Menurut Darlinda, anjing liar yang menyerang cucunya dipercayai ditinggalkan oleh individu yang memburu babi di kawasan kebun sawit berhampiran rumahnya.

"Mereka (pemburu) menggunakan anjing dan selepas selesai memburu, mereka tinggalkan anjing di sini. Kami sudah lama risau dengan anjing liar ini yang cepat membiak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

+ - reset