TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM jamin tiada SJKT akan ditutup di bawah Kerajaan MADANI - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

SUNGAI BAKAP, 6 Sept - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan ditutup di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jaminan itu diberikan bagi menepis persepsi yang masih wujud dalam kalangan masyarakat bahawa SJKT akan ditutup.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan kelangsungan sistem pendidikan berkenaan dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan, penyelenggaraan serta pengukuhan program melibatkan guru dan pelajar.

"Kita bagi jaminan, sebagai kerajaan bandar ini, tiada SJKT yang akan ditutup. Malah, kita akan berikan tumpuan kepada semua sekolah untuk pembangunan, penyelenggaraan dan juga program-program yang terkait dengan pengukuhan guru dan juga para pelajar kita.

"Jadi untuk Kerajaan MADANI ini, tidak akan ada sekolah ataupun SMPT yang ditutup, kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi pembinaan SJKT Sungai Bakap, di sini, pada Ahad.

Fadhlina berkata, kepelbagaian sistem pendidikan negara yang merangkumi sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan SJKT merupakan antara kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara masyarakat majmuk.

Menurutnya, semua murid tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang perlu diberikan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan projek khas bernilai RM30 juta di beberapa negeri termasuk Johor, Perak dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh kemudahan pendidikan.

Sementara itu, Fadhlina berkata pembinaan SJKT Sungai Bakap akan dilaksanakan oleh Yayasan Didik Negara dengan tempoh pembinaan selama 56 minggu.

Katanya, projek bernilai RM12.6 juta itu akan dipantau oleh Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan proses pembinaannya berjalan mengikut perancangan.

Beliau menyifatkan pembinaan sekolah berkenaan sebagai satu perkembangan penting khususnya kepada komuniti Sungai Bakap.

Katanya, kemudahan baharu itu akan menyediakan akses pendidikan yang lebih komprehensif kepada generasi akan datang.

+ - reset