TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tahan wanita marah, tarik rambut, goncang kepala budak di taska di Kuantan

By
|
Kongsi
image

KUANTAN, 6 Sept - Seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan selepas video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai dikasari di sebuah taska di Bukit Setongkol, di sini, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, wanita berusia 31 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang diterima kira-kira jam 10.34 pagi Ahad.

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat selepas rakaman video kejadian terbabit tersebar di media sosial.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Ogos lalu.

“Berdasarkan rakaman video tular berkenaan, mangsa dimarahi, ditarik rambut dan digoncang kepalanya oleh seorang wanita dipercayai pengasuh di taska terbabit,” katanya.

Ashari berkata, mangsa yang berusia dua tahun lapan bulan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

“Setakat ini, tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan terhadap mangsa. Bagaimanapun, pemeriksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa memandangkan kes ini melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Ashari berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset