Berita Berita
Bekas Pengarah Besar FELDA direman lima hari bantu siasatan salah guna kuasa dan penjualan tanah
PUTRAJAYA, 7 September – Seorang bekas Pengarah Besar FELDA bergelar Datuk ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dalam pelantikan syarikat pemaju projek serta penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 11 September terhadap suspek berusia lewat 60-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan itu susulan penahanan dua individu berusia lingkungan 50-an dan 60-an yang diminta hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 4 petang semalam.
Kedua-dua individu berkenaan disyaki terlibat dalam urusan penjualan tanah FELDA kepada pihak yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah mahupun anak syarikatnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Proses permohonan perintah reman terhadap seorang lagi suspek yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan dijalankan di hospital hari ini.
Tindakan susulan ini berikutan langkah SPRM membuka tujuh kertas siasatan dalam penyiasatan khas berskala besar dikenali sebagai Ops FELLA.
Fokus Ops FELLA melibatkan penilaian semula transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA serta FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) sepanjang tempoh 2010 hingga 2020.
Siasatan berkenaan merangkumi beberapa transaksi utama termasuk pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd di Limbang, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah dan pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London.
Selain itu, skop siasatan turut memberi tumpuan kepada isu penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House, penyelewengan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) serta hartanah Park City Grand Plaza yang masih dalam proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Berita berkaitan
September 7, 2026, 4:35 pm
Abdul Hadi sedia beri kerjasama kepada polis berhubung dakwaan campur tangan AS
September 7, 2026, 4:26 pm
Ketua Penolong Pengarah RTM dipenjara enam bulan dan didenda RM10,000 atas pertuduhan rasuah
September 7, 2026, 4:19 pm
Ab Rauf beri bayangan pembubaran DUN Melaka dalam tempoh dua minggu lagi
September 7, 2026, 3:51 pm
Lelaki pukul, kurung isteri bersama empat anak dipercayai kerana cemburu ditahan di Gong Badak
September 7, 2026, 3:00 pm
UMNO tak jemput PH ke PAU 2026, Zahid Hamidi jelaskan jemputan untuk Pas
September 7, 2026, 2:30 pm
Operasi SAR enam pendaki hilang di Trans GBB ditumpukan di laluan Perak
September 7, 2026, 2:18 pm
Kos sara hidup meningkat dorong golongan muda tangguh kahwin dan zuriat
September 7, 2026, 1:48 pm
