TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Abang, adik antara empat didakwa bunuh lelaki di ladang sawit

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 7 Sept – Dua beradik bersama dua rakan mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di kawasan ladang sawit di Sungai Petani, bulan lalu.

Mohamad Bakri Mahidin, 37; Muhamad Arif Mahidin, 26; Mohamad Iekram Mohd Zaki, 29, dan Mohd Firdaus Che Mustafa, 36, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama membunuh Mohd Badaruddin Md Nayan, 30, di kawasan ladang sawit Kampung Sungai Division, Sungai Petani, antara jam 1.30 tengah hari hingga 3 petang pada 23 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan, jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Noor, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan turut memaklumkan bahawa tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh berikutan pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah turut diberitahu oleh peguam Durratul 'Ain Mahmud Morshidi yang bertindak sebagai amicus curiae atau sahabat mahkamah bahawa dua daripada tertuduh mempunyai masalah kesihatan.

Mohamad Iekram dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat kemalangan, manakala Mohamad Bakri memohon mendapatkan alat bantuan pernafasan kerana mempunyai masalah asma.

Noor Farah kemudian meminta supaya perkara itu dimaklumkan kepada pihak penjara tempat tertuduh ditahan kerana pusat tahanan berkenaan mempunyai kemudahan kesihatan.

Mahkamah menetapkan 11 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta proses penyerahan dokumen termasuk laporan lengkap forensik.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditemukan mati di kawasan Kampung Sungai Division dan dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, dilaporkan berkata, empat lelaki tempatan telah ditahan berhubung kes berkenaan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala akibat objek tumpul.

Siasatan polis mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan selepas mangsa didakwa mencuri barang milik salah seorang suspek.

+ - reset