TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya suka lihat anak-anak begini' - Fadhlina hadiahkan Ipad buat Nur Aamily Saffiya, gegar pentas Dubai dan UK dalam pengucapan awam pada usia 11 tahun

By
|
Kongsi
image

NIBONG TEBAL 7 Sept  – Baru berusia 11 tahun, namun keberanian Nur Aamily Saffiya Muhd Zabari Izyan berucap di pentas antarabangsa sudah membuahkan kejayaan apabila meraih pingat perak di Dubai sebelum membawa pulang emas dari United Kingdom (UK).

Lebih membanggakan, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat itu turut muncul antara tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris dalam pertandingan Public Speaking di University of Surrey, UK, Ogos lalu.

Pencapaian tersebut menarik perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek yang semalam meluangkan masa bertemu Aamily dan keluarganya di kediaman mereka.

Fadhlina berkata, Aamily terlebih dahulu meraih pingat perak ketika menyertai pertandingan Public Speaking iWise Global 2026 di Dubai pada Februari lalu.

“Februari lalu dia (Nur Aamily) berucap di Dubai dan pulang dengan pingat perak.

“Ogos, dia terbang pula ke University of Surrey di United Kingdom.

“Kali ini bukan sahaja menang emas public speaking, malah menjadi antara tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Fadhlina, pencapaian Aamily bukan sekadar mengenai pingat yang dimenangi, sebaliknya keberaniannya meneroka pengalaman baharu pada usia muda.

“Saya suka melihat anak-anak begini.

“Bukan semata-mata kerana pingat yang dibawa pulang, tetapi kerana pada usia 11 tahun, dunianya sudah begitu luas untuk diteroka,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Fadhlina turut menghadiahkan sebuah iPad kepada Aamily bagi membantu pembelajaran serta menggalakkan murid berkenaan terus meneroka pelbagai bidang.

Beliau berkata, keberanian Aamily mencuba perkara baharu dan tampil berucap di pentas antarabangsa merupakan antara nilai yang mahu dipupuk dalam kalangan murid.

“Sebagai Menteri Pendidikan, inilah keyakinan yang kita mahu tumbuhkan dalam diri anak-anak kita.

“Nur Aamily mencuba, berani bercakap dan berani masuk ke ruang yang baharu,” katanya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kejayaan Aamily turut menjadi kebanggaan masyarakat setempat.

“Sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal pula, saya tumpang bangga lebih sikitlah.

“Ini anak kita.

“Terus terbang tinggi, Aamily,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Aamily meraih pingat perak dalam pertandingan Public Speaking iWise Global 2026 di Dubai pada Februari lalu.

Pencapaian itu kemudian disusuli kejayaan meraih pingat emas dalam pertandingan Public Speaking Bahasa Inggeris di UK pada Ogos lalu.

+ - reset