TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Enam pendaki termasuk dua kanak-kanak ditemukan selamat selepas hilang di Gunung Gerah

By
|
Kongsi
image

 

GERIK 7 Sept - Penantian keluarga berakhir lega apabila enam pendaki termasuk dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi merentasi tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa ditemukan selamat petang ini.

Kesemua mereka dipercayai mengambil masa lebih lama untuk menamatkan perjalanan selepas seorang daripada kumpulan berkenaan mengalami kecederaan yang tahapnya masih belum diketahui.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai keberadaan kesemua mangsa selepas berjaya menghubungi salah seorang malim gunung terbabit kira-kira jam 5.30 petang.

"Mereka boleh bergerak tetapi perlahan. Pasukan penyelamat akan menyusul trek pendakian di mana kumpulan itu berada untuk membawa mereka keluar.

"Pasukan penyelamat akan naik hari ini juga," katanya kepada media pada Isnin.

Abdul Samad berkata, operasi menyelamat turut dirancang menggunakan helikopter bagi membawa pasukan penyelamat ke salah satu kem sebelum mereka meneruskan perjalanan ke lokasi keenam-enam mangsa.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan selepas keenam-enam individu terbabit gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.

Mereka dilaporkan memulakan ekspedisi merentasi tiga puncak gunung iaitu Gerah, Bilah dan Bieh yang dikenali sebagai Trans GBB pada 29 Ogos lalu.

Peserta ekspedisi itu terdiri daripada dua malim gunung iaitu Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43.

Sementara itu, empat beranak yang menyertai ekspedisi berkenaan ialah Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9.

Penemuan keenam-enam mereka petang ini sekali gus menamatkan kebimbangan keluarga selepas kumpulan itu terputus hubungan dan gagal tiba di Pos Kemar seperti dijadualkan.

+ - reset