TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tahan juruterbang Malaysia lagi, dipercayai urus duit sindiket dadah babit kes di lapangan terbang Indonesia

By
|
Kongsi
image

 

KUALA SELANGOR 9 Sept – Seorang juruterbang tempatan dipercayai berperanan sebagai ‘akauntan’ sindiket pengedaran dadah ditahan bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia pada 29 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan kelmarin di sekitar Lembah Klang.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek dipercayai sudah aktif bersama sindiket berkenaan sejak setahun lalu dan bertanggungjawab menguruskan aliran wang antara sindiket dengan pembantu juruterbang yang ditahan di Indonesia.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan mengurus aliran wang antara sindiket dengan pembantu juruterbang ditahan di Indonesia sebelum ini.

“Dia menguruskan wang hasil jualan dadah yang disalurkan melalui dirinya. Dengan kata lain, dia terlibat dalam menguruskan hasil jualan dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, Hussein menegaskan suspek terbaharu itu bekerja dengan syarikat penerbangan berbeza berbanding pembantu juruterbang yang ditahan sebelum ini.

Beliau berkata, hasil siasatan turut mengesahkan sindiket terbabit mempunyai rangkaian antarabangsa.

“Ya, kegiatan ini juga boleh dikategorikan sebagai pengubahan wang haram,” katanya.

Sebelum ini, polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 50 tahun berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan pembantu juruterbang Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia pada 29 Julai lalu.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi khas JSJN Bukit Aman yang dijalankan dari 20 hingga 28 Ogos lalu.

Berdasarkan risikan dan siasatan, kesemua mereka dipercayai memainkan peranan sebagai ‘upline’ atau orang atasan serta ‘downline’ atau orang bawahan dalam rangkaian sindiket pengedaran dadah yang dikaitkan dengan pembantu juruterbang berkenaan.

+ - reset