TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PAU 2026 buka tirai, UMNO bakal tentukan arah kerjasama politik hadapi PRN Melaka, PRU16

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Sept – Persoalan mengenai siapa bakal menjadi rakan strategik Barisan Nasional (BN) dijangka menjadi antara isu paling hangat sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang bermula hari ini.

Perhimpunan empat hari itu berlangsung ketika percaturan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin rancak, selain parti-parti politik dilihat mula menyusun strategi lebih awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perwakilan UMNO dijangka menyuarakan pendirian berhubung bentuk kerjasama politik yang wajar dibentuk BN, khususnya sama ada meneruskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) atau membuka ruang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali, berkata isu hubungan BN dan PH berkemungkinan menjadi antara topik yang mendapat perhatian perwakilan.

Menurutnya, ketegangan antara kedua-dua gabungan itu selepas BN bertanding menentang PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan turut berpotensi dibawa ke pentas PAU.

"Hubungan antara BN dan PH di bawah Kerajaan Perpaduan kemungkinan turut dibangkitkan kerana ketika ini, hubungan itu agak tegang susulan tindakan BN menentang PH pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun, UMNO dan BN dijangka kekal komited kepada Kerajaan Perpaduan, namun beberapa isu menggugat kepercayaan antara dua gabungan ini," katanya ketika dihubungi.

Mazlan berkata, perkembangan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk penahanan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa pemimpin UMNO, dijangka turut menjadi perhatian.

Katanya, isu FELDA, projek di bawah Kementerian Pertahanan serta dakwaan perbelanjaan melebihi peruntukan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga berpotensi mencorakkan perbahasan.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, melihat PAU kali ini sebagai medan penting untuk UMNO menentukan hala tuju politik parti bagi tempoh mendatang.

Katanya, keputusan yang bakal dibuat tidak seharusnya dilihat dalam konteks PRN Melaka semata-mata, sebaliknya mempunyai kaitan langsung dengan persiapan menghadapi PRU16.

"Ia bukan saja mengenai PRN Melaka tetapi juga menjurus kepada agenda yang lebih besar, iaitu PRU.

"Bentuk kerjasama dengan pihak mana ini dikatakan sudah hampir dimuktamadkan dan akan ada desakan supaya kerjasama itu dilakukan bersama PN.

"Jadi, ruang warna-warni perbahasan itu lebih menjurus kepada ikatan kerjasama," katanya.

Azmi turut menjangkakan wujud desakan daripada perwakilan supaya UMNO menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PH, selari dengan pendirian yang pernah disuarakan beberapa pemimpin parti itu sebelum ini.

"Terlampau banyak ugutan yang digunakan buat masa ini.

"Sudah pasti keputusan perwakilan akan memaksa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan mengenai kerjasama berdasarkan resolusi PAU," katanya.

PAU 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sehingga Sabtu menghimpunkan lebih 6,000 perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Agenda bermula dengan Taklimat Presiden pada petang ini sebelum diteruskan dengan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malam.

Ketiga-tiga pergerakan itu akan mengadakan perhimpunan masing-masing pada Khamis, manakala perhimpunan utama UMNO dijadual berlangsung pada Jumaat dan Sabtu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan hala tuju kerjasama politik parti dalam kerangka Kerajaan Perpaduan serta agenda Rumah Bangsa dijangka menjadi antara perkara utama yang akan dibincangkan pada PAU 2026.

+ - reset