TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Flat Hijau' Putrajaya kena kepung, Imigresen tahan 325 warga asing sedang lena tidur

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 9 Sept - Sebanyak 325 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan pangsapuri di sekitar Putrajaya, awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan susulan aduan serta maklumat daripada orang awam itu menyaksikan 740 individu diperiksa oleh 127 pegawai JIM dari Ibu Pejabat JIM Putrajaya.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

JIM dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah yang diperiksa, 325 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen.

Mereka terdiri daripada 270 lelaki dan 55 wanita berusia antara 18 hingga 56 tahun, membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand.

“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kesemua individu yang ditahan kemudian dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan berkaitan.

JIM turut memberi jaminan akan meneruskan serta mempergiatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI), penyalahgunaan pas dan salah guna kemudahan imigresen.

Sebelum ini, kewujudan komuniti warga asing di Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9, di sini yang lebih dikenali sebagai ‘Flat Hijau’, pernah dilaporkan.

Kehadiran warga asing yang semakin kerap kelihatan di kawasan berkenaan dilaporkan menimbulkan kebimbangan penduduk, terutama apabila lokasi itu didakwa menjadi tempat berkumpul sehingga lewat malam.

+ - reset