TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bayaran haji jemaah B40 kekal RM15,000 bagi musim 1448H/2027M

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Sept - Bakal jemaah haji daripada kumpulan B40 terus menerima kelegaan apabila kadar bayaran haji Muassasah bagi musim 1448H/2027M dikekalkan pada RM15,000 seorang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) bagi kumpulan berkenaan turut dikekalkan sebanyak RM18,300 atau 55 peratus daripada keseluruhan kos haji.

Menurutnya, bantuan RM1,000 daripada kerajaan kepada jemaah B40 yang menunaikan haji buat kali pertama juga diteruskan untuk tahun kelima berturut-turut.

Bagi jemaah kategori M40, kadar bayaran ditetapkan pada RM23,500 selepas menerima HAFIS berjumlah RM9,800 atau 29 peratus daripada kos keseluruhan.

Sementara itu, jemaah daripada kumpulan T20 perlu menanggung sepenuhnya kos haji berjumlah RM33,300 seorang.

"Kerajaan MADANI menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) kekal komited memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan secara mampan dan saksama dengan mengekalkan kos haji Muassasah bagi musim 1448H/2027M pada RM33,300 seorang untuk tahun keempat berturut-turut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, sebanyak RM234 juta diperuntukkan oleh TH bagi membiayai HAFIS secara bersasar untuk musim haji akan datang.

Katanya, kadar kos haji itu dapat dikekalkan meskipun TH berdepan tekanan inflasi dalam perkhidmatan serta kesan konflik geopolitik di Asia Barat.

Beliau berkata, usaha mengawal kos dilaksanakan menerusi tadbir urus yang cekap tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan kepada jemaah.

Malah, keupayaan TH mengekalkan tahap perkhidmatan terbaik turut dibuktikan apabila Malaysia sekali lagi menerima Anugerah Labbaytum Diamond pada musim haji 2026.

"Kerajaan bersama TH akan sentiasa memantau struktur kos dari semasa ke semasa mengikut persekitaran global demi memastikan kebajikan dan kelancaran urusan duyufurrahman terus dipelihara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata persiapan bagi musim haji 1448H/2027M sudah dimulakan lebih awal, manakala surat tawaran kepada bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai bulan ini.

Beliau turut mengingatkan bakal jemaah supaya melakukan persiapan menyeluruh termasuk dari aspek kesihatan, kewangan serta penguasaan ilmu berkaitan ibadah haji berdasarkan konsep istito'ah atau kemampuan.

Katanya, kerajaan yakin hubungan erat antara Malaysia, TH dan Kerajaan Arab Saudi akan terus membantu memperkukuh kerjasama dalam memastikan jemaah Malaysia menerima perkhidmatan haji yang terbaik.

+ - reset