Berita Berita
Risau tiada perlindungan jika ditimpa musibah luar waktu kerja, 10,000 pekerja sertai semula LINDUNG 24 Jam
KUALA LUMPUR 9 Sept - Kira-kira 10,000 pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) kini mengambil keputusan untuk kembali mendapatkan perlindungan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja terbabit boleh menyertai semula skim itu pada bila-bila masa tanpa dikenakan sebarang had tempoh.
Menurut beliau, kemudahan untuk kembali mencarum dibuka mulai 2 September lalu, selepas tempoh untuk memilih keluar daripada skim berkenaan tamat pada 31 Ogos.
Katanya, perkembangan itu amat penting kerana 52 peratus daripada pekerja yang memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam adalah mereka yang berpendapatan kurang RM3,500 sebulan.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana majoriti golongan berkenaan tidak mempunyai liputan insurans seperti dilaporkan Bank Negara Malaysia.
“Keadaan ini menjadikan mereka sebagai kelompok berisiko tinggi yang akan terjejas akibat kejutan kewangan sekiranya mereka ditimpa musibah di luar waktu bekerja,” katanya pada sidang media di Menara PERKESO, di sini, hari ini.
Mohammed Azman berkata, data Bank Negara Malaysia bagi 2024 menunjukkan hanya 45.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat, manakala kadar penyertaan dalam kalangan kumpulan B40 jauh lebih rendah, sekitar empat peratus.
Beliau berkata, pekerja yang memilih untuk tidak menyertai skim itu juga paling ramai tertumpu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang secara keseluruhannya merangkumi 53 peratus.
Johor pula menyumbang 11 peratus, Pulau Pinang sembilan peratus, manakala 28 peratus lagi membabitkan pekerja di negeri-negeri lain.
Menurutnya, tumpuan tinggi di tiga kawasan berkenaan berkait rapat dengan kepadatan penduduk serta kegiatan ekonomi yang rancak, sekali gus menyebabkan pekerja terdedah kepada risiko kemalangan yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, PERKESO turut mengesan beberapa kes membabitkan individu yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam, namun kemudian mengemukakan tuntutan selepas mengalami kemalangan di luar waktu bekerja.
Mohammed Azman berkata, keadaan itu sepatutnya menjadi pengajaran bahawa keputusan untuk tidak mendapatkan perlindungan boleh membawa implikasi apabila berlaku kejadian tidak dijangka.
“Perlindungan sosial perlu mengikuti pekerja, bukan pekerja yang menyesuaikan diri dengan perlindungan kerana jika hanya terhad kepada lokasi waktu bekerja, perlindungan itu tidak akan benar-benar menyeluruh,” tegasnya.
Beliau berkata, pekerja yang mahu kembali menyertai LINDUNG 24 Jam boleh berbuat demikian secara dalam talian pada bila-bila masa tanpa dikenakan tempoh tertentu untuk mencarum semula.
Sementara itu, pekerja yang kekal menyertai skim berkenaan akan terus dilindungi selagi memenuhi syarat ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), selaras dengan prinsip ‘Once In, Always In’.
Berita berkaitan
September 9, 2026, 6:30 pm
Azeez Rahim mahu pakai pakaian lokap ungu, bergari atas kehendak sendiri - SPRM
September 9, 2026, 6:17 pm
Balu mangsa kebakaran terharu terima pencen FOT Perkeso RM920 sebulan
September 9, 2026, 6:14 pm
Malaysia tunggu maklum balas Indonesia untuk hantar aset bantu padam kebakaran hutan
September 9, 2026, 4:49 pm
Bayaran haji jemaah B40 kekal RM15,000 bagi musim 1448H/2027M
September 9, 2026, 2:28 pm
'Flat Hijau' Putrajaya kena kepung, Imigresen tahan 325 warga asing sedang lena tidur
September 9, 2026, 1:41 pm
Empat maut Proton Saga bertembung lori di Jalan Telupid-Sandakan
September 9, 2026, 1:03 pm
PAU 2026 buka tirai, UMNO bakal tentukan arah kerjasama politik hadapi PRN Melaka, PRU16
September 9, 2026, 12:57 pm
