TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Tular persembahan Barongan Reog Ponorogo di Titiwangsa, netizen perdebat tentang budaya Malaysia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 SEPTEMBER - Penganjuran persembahan seni kebudayaan Barongan Reog Ponorogo sempena Pesta Bulan Mengambang di Taman Tasik Titiwangsa  mencetuskan perdebatan hangat di platform media sosial selepas rakaman persembahan berkenaan tular.

Tinjauan menerusi perkongsian akaun @_mata_malaikat mendapati pelbagai reaksi dilemparkan netizen, yang mana sebilangan pihak mempersoalkan kelulusan persembahan seni berkenaan didakwa bukan warisan asal negara ini.

Seorang pengguna media sosial, @m.sharynaishak meluahkan rasa tidak puas hati dan mempertimbangkan keutamaan penganjuran persembahan yang dianggap mengambil budaya luar berbanding memartabatkan seni persembahan tempatan lain.

Pandangan tersebut turut disokong oleh @nora_guin dan @nanariii_na yang menyuarakan keraguan terhadap penganjuran tradisi berunsur luar serta mengaitkannya dengan persoalan sensitiviti seni kebudayaan tempatan.

Bagaimanapun, isu berkenaan mendapat pertahanan daripada sebahagian pengguna yang meminta masyarakat supaya memahami latar belakang sejarah dan susur galur penghijrahan komuniti di Malaysia dengan lebih mendalam.

Pengguna akaun @neiliskandar menegaskan bahawa Barongan serta Kuda Kepang telah sekian lama diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan budaya dipelihara oleh komuniti Jawa khususnya di Johor dan Selangor sejak awal abad ke-20. 

Menurutnya, tradisi berkenaan telah bertapak di tanah air sejak sebelum pembentukan negara moden dan menjadi identiti kebudayaan masyarakat tempatan.

Perdebatan isu kebudayaan itu terus menarik perhatian ramai yang menyuarakan pandangan berbeza mengenai definisi warisan negara serta pemeliharaan kepelbagaian seni tradisi di Malaysia.

+ - reset