TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Sekurang-kurangnya ada yang boleh diharap’ – Pencarum tak menyesal opt-in skim LINDUNG 24 Jam, fikir bahaya luar waktu kerja

By
|
Kongsi
image

KOTA DAMANSARA 19 Sept - Pelaksanaan skim LINDUNG 24 Jam disambut baik pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang melihat inisiatif itu sebagai perlindungan tambahan dalam menghadapi risiko kemalangan di luar waktu bekerja.

Perkara itu antara pandangan dikongsikan pengunjung ketika ditemui pada Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall, Kota Damansara, di sini.

Pekerja swasta, Mohamad Azri berkata, pada peringkat awal terdapat mereka yang masih mempertimbangkan sama ada mahu menyertai skim berkenaan kerana sudah mempunyai perlindungan sendiri.

Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk menyertainya selepas melihat manfaat yang ditawarkan menerusi perlindungan berkenaan.

“Macam saya, saya masuk saja. Insya-Allah kalau benda ini bagus dan memberi manfaat kepada semua, eloklah sertai,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penganjuran Festival Mega iLINDUNGu sebagai platform yang baik untuk masyarakat mendapatkan penerangan mengenai skim serta pakej perlindungan yang disediakan PERKESO.

Seorang lagi pencarum, Norerman Rozali berkata, LINDUNG 24 Jam memberi nilai tambah kerana perlindungan yang ditawarkan turut merangkumi tempoh di luar waktu bekerja.

Katanya, perkara itu penting kerana kemalangan atau kejadian tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Sebab saya baru dengar pasal perlindungan 24 jam ini. Ia sangat bagus kerana melindungi kita selepas waktu bekerja.

“Sebelum ini, PERKESO melindungi ketika pergi dan balik kerja serta kemalangan di tempat kerja. Di luar daripada itu tidak dilindungi. Jadi, yang ini sudah melindungi kita,” katanya.

Menurutnya, skim berkenaan wajar dimanfaatkan pencarum sebagai satu bentuk perlindungan tambahan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Norhayati berkata, kewujudan LINDUNG 24 Jam memberinya keyakinan kerana mempunyai perlindungan yang boleh diharapkan sekiranya berdepan kejadian tidak dijangka.

“Saya gembira sebab sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya harapkan. Bukan kita mahu perkara buruk berlaku, tetapi sekurang-kurangnya kita mengambil sesuatu sebagai langkah perlindungan.

“Dalam perjalanan pergi dan balik atau bila-bila masa dalam tempoh 24 jam sekiranya ditimpa sesuatu, bagi saya ia bagus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan keputusan untuk menyertai skim berkenaan tetap bergantung kepada keperluan dan pilihan setiap individu.

“Ada orang ambil, ada orang tidak ambil. Jadi terpulang kepada masing-masing,” katanya.

Festival Mega iLINDUNGu berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara dari 18 hingga 20 September dengan pelbagai aktiviti dan penerangan disediakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai skim perlindungan sosial PERKESO. 

+ - reset