TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Bukan belajar semata-mata, jaga hubungan dengan Allah, ibu bapa dan cikgu’ - Pelajar cemerlang SPM 11A dedah ‘formula’ berjaya

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 Sept - Fokus sepenuhnya ketika guru mengajar, menjaga hubungan dengan Allah, ibu bapa dan guru serta tidak mudah berputus asa menjadi antara pegangan tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam mengejar kejayaan akademik.

Pelajar berkenaan berkongsi pengalaman dan tip masing-masing ketika menghadiri Majlis Maulidur Rasul 1448H dan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2025 anjuran Pertubuhan Kemajuan Muslim Selangor (PKMS), Surau Al-Madrasatul Muhammadiah di Matrade Center, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Mohamad Afzal Sadat Anwar Sadat, 18, berkata kejayaan diperoleh dalam SPM memberi kepuasan tersendiri selepas segala usaha dan pengorbanannya sepanjang tempoh persekolahan akhirnya membuahkan hasil, lebih-lebih lagi apabila dapat membanggakan ibu bapa.

“Memang bangga sebab setiap usaha yang saya telah letak akhirnya berbaloi juga, dapat membanggakan ibu bapa semua,” katanya.

Menurutnya, terdapat tiga perkara utama yang diamalkan sepanjang persediaan menghadapi peperiksaan, bermula dengan memberikan sepenuh perhatian ketika berada di dalam kelas.

Sebagai seorang yang lebih mudah memahami sesuatu menerusi kaedah visual, beliau berkata, tumpuan ketika guru mengajar membantunya memahami sesuatu topik dengan lebih pantas.

Selepas pulang ke rumah, latihan pula perlu dilakukan secara konsisten termasuk menjawab soalan peperiksaan percubaan bagi mengukuhkan pemahaman.

Namun katanya, perkara paling utama sebenarnya adalah memperkuatkan iman dan mendekatkan diri kepada Allah.

Beliau kini sedang mengikuti program asasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan merancang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Pelajar itu turut menyimpan cita-cita untuk menjadi jurutera yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Saya nak jadi seorang jurutera yang boleh banggakan negara. Nak cipta banyak perkara untuk negara dan membantu negara kita untuk terus membangun,” katanya.

Dalam majlis berkenaan seramain 50 pelajar cemerlang SPM 2025 menerima pengiktirafan atas pencapaian akademik mereka.

Program anjuran Pertubuhan Kemajuan Muslim Selangor (PKMS), Surau Al-Madrasatul Muhammadiah itu bukan sahaja meraikan kecemerlangan pelajar, malah menjadi platform memberi motivasi kepada generasi muda untuk terus mencipta kejayaan.

Pengerusi Madrasah Muhammadiah, Haji Ibrahim berkata, penganjuran kali ini cukup bermakna apabila majlis yang sudah memasuki edisi ke-31 itu kembali diadakan selepas kali terakhir berlangsung pada 2019

Sementara itu, bagi Said Labbiq Said Ramdullah  menyifatkan keputusan cemerlang yang diperolehnya sebagai rezeki daripada Allah selain hasil sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan di sekolah.

Menurutnya, pelajar bukan sahaja perlu memberikan perhatian terhadap akademik, malah hubungan dengan Allah, ibu bapa dan guru juga perlu sentiasa dijaga.

“Pertama, jaga hubungan dengan Allah. Hablum minallah, hablum minannas. Jaga hubungan dengan ibu bapa dan jaga hubungan dengan cikgu.

“Dengar kata cikgu sebab cikgu tahu apa kesilapan kita. Cikgu boleh bantu kita untuk dapat apa yang kita inginkan,” katanya.

Beliau kini mengikuti pengajian di ASASIpintar UKM dan berhasrat memperoleh keputusan ‘full flat’, selain mempertimbangkan untuk meneruskan cita-cita ibunya supaya menjadi seorang doktor.

Dalam masa sama, pelajar berkenaan turut menyimpan harapan lebih besar untuk suatu hari nanti mempunyai pengaruh dan kemampuan bagi membantu masyarakat yang menjadi mangsa konflik di Palestin serta negara lain.

“Harapan utama saya, saya nak orang seperti di Palestin dan beberapa negara lain yang melalui genosid bebas daripada perkara itu.

“Untuk buat benda itu, kita kena ada pengaruh dan kuasa. Jadi saya harap pada masa depan mungkin saya ada kuasa dan saya boleh membantu menghentikan genosid daripada berlaku,” katanya.

Seorang lagi penerima anugerah pelajar cemerlang, Muhammad Arsyad Abdul Latif pula tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila menerima sebuah iPad pada majlis berkenaan, lebih-lebih lagi peranti itu sememangnya diperlukan untuk pengajiannya di UKM.

“Saya rasa amat gembira. Lagi-lagi saya agak terkejut bila dapat iPad. Kebetulan saya belum ada iPad untuk digunakan di UKM.

“Bila saya masuk UKM, saya lihat ramai kawan saya yang menggunakan iPad. Tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Jadi hari ini Allah menghadiahkan iPad kepada saya,” katanya.

Berkongsi rahsia kejayaan, beliau menegaskan tumpuan ketika berada di dalam kelas adalah perkara paling penting dan pelajar perlu mengelakkan diri daripada tidur ketika sesi pembelajaran.

“Paling penting fokus dalam kelas. Memang setiap kelas pastikan fokus. Jangan tidur.

“Kedua, kena ada jadual belajar sendiri. Setiap hari kena ada komitmen belajar. Paling-paling waktu sebelum tidur baca buku.

“Dan setiap hari tetapkan satu subjek. Lagi satu, fokus pada subjek yang betul-betul awak lemah dan jangan pernah berputus asa,” katanya.

Beliau turut memasang impian untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) dan menjadi seorang pensyarah Matematik. - Media Telus 

 

 

+ - reset