TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Port Dickson masuk kategori tidak sihat, Lembah Klang catat peningkatan bacaan IPU

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 SEPTEMBER - Keadaan jerebu di beberapa kawasan terus menunjukkan kemerosotan apabila Port Dickson di Negeri Sembilan memasuki kategori tidak sihat, manakala beberapa stesen pemantauan di Lembah Klang merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 2 petang hari ini.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Port Dickson mencatatkan bacaan 121 berbanding 93 pada jam 1 petang, sekali gus memasuki kategori tidak sihat.

Perbandingan bacaan sejam lalu menunjukkan beberapa kawasan di Lembah Klang turut merekodkan peningkatan ketara. Batu Muda di Kuala Lumpur meningkat 25 mata kepada 138 berbanding 113 sebelumnya.

Petaling Jaya pula meningkat kepada 139 daripada 116, manakala Shah Alam dan Putrajaya masing-masing mencatatkan bacaan 155 dan 158. Nilai di Negeri Sembilan turut merekodkan bacaan 158.

Di Sarawak, Serian kekal sebagai lokasi paling terjejas di negara ini dengan bacaan 176 untuk jam kedua berturut-turut, diikuti Samarahan pada paras 169.

Bintulu dan Miri masing-masing meningkat kepada 155 dan 152, manakala Sibu kekal pada bacaan 152.

ILP Miri dan Limbang kembali memasuki kategori tidak sihat dengan masing-masing merekodkan bacaan 101 dan 103, sementara Sarikei kekal dalam kategori sederhana pada paras 99.

Di Melaka, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka masing-masing meningkat kepada 152 dan 151.

Di Johor, Segamat mencatatkan bacaan 156, manakala Batu Pahat kekal pada paras 155. Larkin dan Tangkak pula masing-masing turun satu mata kepada 154.

Di Pantai Timur, Indera Mahkota, Kuantan mencatatkan peningkatan kepada 112 berbanding 103 pada jam sebelumnya.

Sementara itu, utara Semenanjung terus merekodkan kualiti udara terbaik dengan Kangar mencatatkan bacaan IPU terendah negara pada paras 26, diikuti Langkawi pada paras 27.

Orang ramai di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, memakai pelitup muka yang sesuai serta memperbanyakkan pengambilan air bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

+ - reset