TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hampir sebulan hidup dalam jerebu, Indonesia akhirnya setuju terima bantuan Malaysia padam kebakaran di Kalimantan

By
|
Kongsi
image

 

JAKARTA 20 Sept - Indonesia menerima tawaran bantuan Malaysia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan yang turut mencetuskan risiko jerebu rentas sempadan.

Persetujuan itu disampaikan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Hambalang, Bogor, Jawa Barat, Jumaat lalu.

Menurut Prabowo, Malaysia menawarkan untuk menghantar sebuah pesawat, tiga helikopter serta 52 anggota bomba bagi membantu operasi memadam kebakaran berkenaan.

"Kita bahas berbagai masalah yang pertama, dari pihak Malaysia, menawarkan bantuan ingin ikut membantu kita untuk mengatasi kebakaran hutan di Kalimantan," katanya selepas pertemuan itu seperti dipetik menerusi YouTube Sekretariat Presiden Indonesia.

Prabowo turut merakamkan penghargaan terhadap kesediaan Malaysia menghulurkan bantuan, selain menyifatkan kedua-dua negara sebagai sahabat rapat yang perlu terus memelihara hubungan baik.

"Ini adalah masalah lingkungan hidup yang mempengaruhi banyak pihak walaupun itu kebakaran di Indonesia tapi dampaknya dirasakan di tetangga-tetangga kita, jadi mereka ingin bantu kita dan kita terima dengan baik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Indonesia juga sedang merangka langkah pencegahan menyeluruh bagi mengelakkan kejadian kebakaran hutan dan tanah daripada terus berulang setiap beberapa tahun.

"Ini juga pernah dilakukan beberapa tahun yang lalu, dan ini juga saya sedang menyusun langkah-langkah pencegahan menyeluruh supaya tidak tiap beberapa tahun muncul lagi muncul lagi," katanya.

Tawaran Malaysia untuk membantu Indonesia menangani kebakaran berkenaan sebenarnya sudah dikemukakan kira-kira seminggu sebelum pertemuan Prabowo dan Ahmad Zahid.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebelum ini berkata, bentuk serta skop bantuan akan dibincangkan bersama pihak berkuasa Indonesia dengan mengambil kira keperluan dan keadaan semasa di lapangan.

"Malaysia siap memberikan bantuan jika diperlukan oleh Indonesia untuk menangani kebakaran hutan dan lahan serta mengurangi risiko kabut asap lintas batas," katanya dalam kenyataan pada 9 September lalu seperti dipetik Bernama.

Antara keupayaan yang ditawarkan Malaysia ialah operasi pengeboman air (water bombing) menggunakan helikopter, operasi pemadaman menggunakan pesawat amfibia serta pembenihan awan (cloud seeding) bagi menghasilkan hujan buatan.

Arthur turut memaklumkan bahawa beliau sudah menghantar surat kepada Menteri Lingkungan Hidup Indonesia, Mohammad Jumhur Hidayat bagi menyatakan kesediaan Malaysia membantu.

Tawaran itu merupakan susulan komunikasi antara kedua-dua negara berhubung ancaman kebakaran hutan dan tanah serta risiko jerebu rentas sempadan.

Sebelum bantuan berkenaan dapat dilaksanakan, Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton SP Panjaitan berkata, persetujuan antara kedua-dua negara perlu dicapai terlebih dahulu.

Menurutnya, persetujuan secara dua hala diperlukan bagi memastikan bantuan dapat digunakan secara berkesan, khususnya membabitkan penggunaan ruang dan aset udara.

"Mekanisme, bentuk bantuan, kebutuhan operasional, termasuk penggunaan aset udara, perlu dikoordinasikan dan disepakati terlebih dahulu oleh kedua pemerintah agar bantuan yang diberikan benar-benar efektif dan aman di lapangan," katanya pada 10 September lalu.

Berton berkata, BNPB menghargai kesediaan kerajaan Malaysia membantu Indonesia dalam menangani kebakaran hutan dan tanah.

"Pada prinsipnya, setiap dukungan internasional tentu kami sambut positif, sepanjang sesuai dengan kebutuhan di lapangan dan mekanisme kerja sama antarpemerintah yang berlaku," katanya.

Menurutnya, BNPB akan menyalurkan maklumat kepada kerajaan Malaysia mengenai bentuk bantuan yang diperlukan selepas persetujuan antara kedua-dua negara dicapai.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Dave Laksono sebelum ini menegaskan bahawa Indonesia tidak seharusnya berasa gengsi atau malu untuk menerima bantuan daripada negara sahabat.

"Tidak ada alasan untuk melihat bantuan dari negara sahabat sebagai persoalan gengsi," katanya.

Menurut Dave, tawaran Malaysia wajar disambut secara positif kerana keutamaan ketika berdepan bencana adalah memastikan kebakaran dapat dikawal secepat mungkin.

Ia termasuk mengurangkan kesan terhadap masyarakat serta gangguan terhadap operasi penerbangan akibat jerebu.

"Indonesia memiliki kemampuan dan sumber daya sendiri, namun dukungan yang dapat memperkuat penanganan di lapangan tentu dapat diterima sepanjang sesuai dengan kebutuhan," katanya.

Dave berkata, kerjasama berkenaan juga bukan perkara baharu kerana ia sudah dibincangkan dalam pertemuan dua hala kedua-dua negara di Bali pada 8 Julai 2026 serta menerusi komunikasi telefon pada 24 Ogos lalu.

"Yang penting, seluruh proses tetap melalui koordinasi pemerintah, termasuk Kementerian Luar Negeri, agar bantuan sesuai dengan kebutuhan di lapangan dan mekanismenya jelas," katanya. - Agensi

+ - reset