TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis belum terima maklumat Najib pulang Langgak Duta hari ini

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 21 Sept - Polis masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, hari ini bagi menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan dan maklumat terkini berhubung perkara berkenaan.

“Belum. Pihak saya belum menerima sebarang maklumat lagi,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Anuar Bakri, kawalan polis di sekitar kediaman Najib masih kekal seperti semalam dengan tiada pertambahan anggota dibuat setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, kekuatan anggota akan ditingkatkan sekiranya polis menerima pengesahan berhubung pembebasan Najib dari penjara dan penempatan tahanan rumahnya di Jalan Langgak Duta.

“Jika ada pertambahan dan juga maklumat terkini berkaitan pembebasan Datuk Seri Najib dan tahanan rumah sah diletakkan di Langgak Duta, saya akan tingkatkan kekuatan,” katanya.

Sementara itu, pengamal media dilaporkan mula berkumpul di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri itu sejak pukul 7 pagi bagi mengikuti perkembangan terkini.

Balai polis bergerak yang ditempatkan di kawasan berkenaan turut mula beroperasi pada pukul 7 pagi dengan bantuan beberapa anggota polis dan dua unit kereta peronda polis (MPV).

Sebelum ini, polis menjelaskan penempatan balai bergerak berkenaan adalah bagi menguruskan aspek keselamatan sekiranya proses pemindahan Najib dari penjara ke kediamannya dilaksanakan, termasuk mengawal kehadiran media, penyokong serta kesesakan lalu lintas.

Jabatan Penjara Malaysia pada Ahad memaklumkan pihaknya masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis mengenai keputusan pengampunan bersyarat itu sebelum tindakan lanjut ditentukan.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pengampunan itu tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta. Sekiranya syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukumannya di penjara.

Najib, 73, mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

+ - reset