TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Yassin Sulaiman buat 'u-turn', tarik balik dakwaan dadah mudah diperoleh di penjara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Sept – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman menarik semula kenyataannya berhubung dakwaan banduan boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah di dalam penjara, selain memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia atas kekeliruan yang timbul.

Yasin menjelaskan, kenyataan yang dibuat menerusi beberapa podcast dan temu bual sebelum ini adalah berdasarkan pengalaman serta pemahamannya ketika menjalani hukuman di penjara.

Bagaimanapun, pelantun lagu Mimpi Laila itu berkata, ketika melalui tempoh berkenaan, beliau sedang mengalami episod bipolar mania sebelum diarahkan mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh, Perak.

Menurutnya, keadaan yang dialami ketika itu mungkin mempengaruhi cara beliau memahami dan mentafsir situasi di sekelilingnya.

"Keadaan saya ketika itu mungkin telah mempengaruhi cara saya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara-perkara yang berlaku di sekeliling saya.

"Selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia dan melihat kembali keadaan yang saya lalui ketika itu, saya dengan ini menarik balik kenyataan berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Yasin turut melahirkan rasa kesal sekiranya perkongsian berkenaan telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.

Katanya, beliau tidak pernah berniat mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia atau memperkecilkan tugas pegawai dan anggota jabatan berkenaan.

"Sehubungan itu, saya ingin memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia atas kekeliruan yang timbul.

"Saya menghargai tugas dan khidmat pegawai serta anggota Jabatan Penjara Malaysia yang menjalankan amanah dalam menjaga keselamatan, kebajikan dan proses pemulihan penghuni.

"Dengan penjelasan ini, saya harap segala kekeliruan daripada perkongsian saya sebelum ini dapat diperbetulkan dan diselesaikan dengan baik," ujarnya.

Sebelum ini, Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan bahawa banduan boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah ketika menjalani hukuman di penjara.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, jabatan itu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan ketat bagi mengawal kemasukan dan peredaran bahan terlarang dalam institusi penjara.

Menurutnya, Jabatan Penjara sentiasa berusaha mengekang sebarang perkara negatif termasuk salah laku dalam kalangan penghuni menerusi kawalan serta program pemulihan yang dilaksanakan.

+ - reset