TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bukan 'escort' pencuri kabel la, polis datang selepas terima terima aduan'

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Sept – Bukit Aman menepis dakwaan tular kononnya sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis dilihat ‘escort’ sebuah kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin menegaskan, dakwaan bahawa anggota polis bersekongkol dalam kejadian berkenaan adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau berkata, anggota MPV terbabit berada di lokasi selepas menerima maklumat daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Dakwaan (kenderaan polis) bersekongkol adalah tidak benar.

"MPV bertindak atas maklumat daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan kenderaan pasukan juga membuka lampu beacon mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut Noor Hisam, tindakan anggota MPV berkenaan merupakan tindak balas terhadap aduan yang diterima daripada orang ramai.

Beliau berkata, polis turut menjalankan tindakan susulan berhubung kejadian itu dan setakat ini seorang suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kabel telah diberkas untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian tular di beberapa platform media sosial termasuk Facebook dan Threads.

Rakaman tersebut mencetuskan pelbagai reaksi warganet selepas sebuah kenderaan MPV polis dilihat berada berhampiran kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi.

Situasi itu kemudian menimbulkan dakwaan dalam kalangan pengguna media sosial kononnya kenderaan polis berkenaan sedang mengiringi kenderaan terbabit, sebelum perkara itu dinafikan Bukit Aman.

+ - reset