TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Bubar DUN, serah semula kepada rakyat’ – AMANAH desak MB Negeri Sembilan susulan krisis Istana, kerajaan negeri

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Sept – Kemelut antara pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dan Istana yang semakin meruncing perlu dikembalikan kepada rakyat menerusi pilihan raya negeri (PRN), kata AMANAH.

Justeru, parti itu mendesak Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi membuka laluan kepada penyelesaian politik terhadap krisis yang berlaku.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, perkembangan politik di Negeri Sembilan kini sudah mencapai tahap serius, khususnya susulan isu proklamasi yang dikaitkan dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau berkata, AMANAH tidak mahu mencampuri kemelut berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar kerana perkara itu sewajarnya diselesaikan berdasarkan undang-undang, Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, AMANAH mendakwa pergolakan itu mempunyai kaitan dengan PRN Negeri Sembilan ke-16 yang didakwa diadakan secara mengejut susulan desakan pihak tertentu untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar daripada takhta.

Katanya, keadaan menjadi lebih meruncing apabila Menteri Besar menolak titah berkenaan secara terbuka.

Beliau turut mendakwa tindakan UMNO berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar menunjukkan kegagalan menghormati institusi diraja Melayu.

"AMANAH berpendirian bahawa UMNO gagal untuk menghormati kedudukan institusi diraja Melayu apabila mengambil langkah menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seolah-olah satu tindakan 'coup d'état' (kudeta)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Istana Negeri Sembilan sebelum ini memaklumkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dibatalkan berkuat kuasa serta-merta selepas mereka didapati melanggar sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka.

Menteri Besar turut diarahkan mengemukakan senarai calon baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz.

Muhammad Faiz berkata, AMANAH berpandangan pertembungan antara pihak eksekutif dan Istana adalah bercanggah dengan roh serta prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Justeru, parti itu mendesak Ismail memohon pembubaran DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada penyelesaian politik melalui pilihan raya.

AMANAH turut memberi amaran pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas Ismail hari ini menegaskan semua EXCO kerajaan negeri sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Beliau turut berpandangan tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO baharu seperti yang dititahkan kerana kedudukan mereka masih sah berdasarkan tafsiran kerajaan negeri terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

+ - reset