TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jerebu makin buruk: 16 kawasan catat IPU tidak sihat seluruh negara

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA, 22 Sept. – Sebanyak 16 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi Selasa.

Berdasarkan data terkini portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, Sibu di Sarawak merekodkan bacaan IPU tertinggi nasional iaitu pada paras 177.

Kualiti udara merosot ketara di Sarawak dengan sembilan lagi kawasan merekodkan IPU tidak sihat merangkumi Sri Aman (168), Mukah (167), IPD Serian (159), Bintulu (157), Kapit (157), Kuching (157), Samalaju (156), Sarikei (155), dan Samarahan (155).

Semenanjung Malaysia turut menerima kesan pencemaran udara apabila Putrajaya mencatatkan IPU tertinggi di rantau berkenaan dengan bacaan 153.

Beberapa kawasan lain di Semenanjung dan Sabah turut terjejas teruk termasuk Shah Alam serta Politeknik Kota Kinabalu yang masing-masing mencatatkan bacaan 117, diikuti Cheras (116), Johan Setia (114), dan Nilai (113).

Dalam pada itu, hanya tiga lokasi di seluruh negara masih mengekalkan bacaan IPU pada tahap baik iaitu Balik Pulau di Pulau Pinang (38), Tanah Merah di Kelantan (46), dan Langkawi di Kedah (49).

Sebanyak 49 stesen pemantauan kualiti udara yang lain di seluruh negara pula berada pada julat bacaan sederhana.

Sebagai rekod, aras ukur kualiti udara dikategorikan kepada lima tahap iaitu Baik (0 hingga 50), Sederhana (51 hingga 100), Tidak Sihat (101 hingga 200), Sangat Tidak Sihat (201 hingga 300), dan Bahaya bagi bacaan melebihi 300.

+ - reset